SELEPAS perniagaan merudum akibat pandemik Covid-19, industri perabot berdepan permintaan besar berikutan banjir di beberapa negeri bulan lepas, ditambah pula dengan aktiviti pengubahsuaian rumah sempena Tahun Baharu Cina.
Bagaimanapun, peruncit perabot melahirkan kebimbangan kerana mungkin tidak dapat menyiapkan pesanan tepat pada masanya berikutan kekurangan tenaga buruh dalam kalangan pengilang yang belum diselesaikan biarpun terdapat permintaan tinggi.
Barangan paling laris ketika ini adalah tilam, almari pakaian, bantal dan sofa termasuk barangan terendam serta tidak dapat diselamatkan dalam banjir yang melanda selepas hujan berterusan pada 18 dan 19 Disember lalu.
Pemilik kedai perabot Eric Lee Kong Sim yang mengusahakan kedainya sendiri di Lembah Klang berkata, banyak tempahannya adalah dari kawasan dilanda banjir.
Permintaan kebanyakannya untuk item dalam julat harga pertengahan dan lebih rendah.
“Barang pada julat harga ini akan menjadi lebih popular dalam kalangan mangsa banjir yang mengalami kerugian besar,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Tambahnya, sofa antara barangan yang berdepan kekurangan bekalan dan hanya boleh dihantar kepada pembeli selepas perayaan Tahun Baharu Cina.
“Terdapat kekurangan sementara sofa kerana peningkatan mendadak dalam permintaan dan beberapa pengeluar juga menghadapi kekurangan tenaga kerja.”
Bekalan akan seimbang dengan permintaan menjelang pertengahan Februari, tambah Lee.
Permintaan barangan seperti tilam pula datang dengan banyak daripada kumpulan kebajikan, badan bukan kerajaan dan perusahaan lain yang membelinya dalam jumlah besar untuk disalurkan sebagai bantuan kepada mangsa banjir.
Lee, yang merupakan bekas presiden Persatuan Industri Perabot Kuala Lumpur dan Selangor, berkata ahli kumpulan itu juga telah menjalankan kutipan sumbangan mereka sendiri untuk menyediakan perabot percuma kepada mangsa banjir.
Beliau juga berkata sebarang kenaikan harga perabot tidak seharusnya dilihat sebagai mengaut keuntungan daripada isu banjir, tetapi berkemungkinan besar disebabkan kenaikan harga bahan mentah yang turut menjejaskan banyak sektor lain.
“Kos bahan mentah melambung tinggi. Kami tidak mengambil kesempatan daripada banjir untuk menaikkan harga,” katanya.
Seorang lagi pemilik kedai perabot Karen Wong berkata pesanan Januari penuh. Penghantaran juga akan ditangguhkan.
“Akibat bekalan tidak mencukupi, produk yang biasanya boleh dihantar dalam tempoh seminggu akan terpaksa ditangguhkan.
“Kami menerangkan keadaan dengan jelas kepada pelanggan kami sebelum mereka membuat pesanan,” kata Wong kepada The Malaysian Insight.
Wong berkata beliau menerima tempahan daripada pelanggan untuk menghias semula kediaman mereka menjelang Tahun Baharu Cina yang bakal disambut pada pada 1 Februari ini.
Presiden Majlis Perabot Malaysia Khoo Yeow Chong juga berkata isu bekalan akan berkurangan dalam masa sebulan kerana pengilang berusaha meningkatkan pengeluaran.
Banjir melanda beberapa negeri di tengah Semenanjung bulan lalu selepas hujan berterusan pada 18 dan 19 Disember.
Kebanyakan penduduk tidak bersedia dengan banjir yang menenggelamkan rumah dan kereta serta memusnahkan harta benda.
Ribuan terpaksa duduk di atas bumbung semalaman sementara menunggu pasukan penyelamat.
Banjir mengorbankan 54 nyawa dan lebih 70,000 kehilangan tempat tinggal. Kerja pembersihan besar-besaran masih dijalankan di beberapa kawasan. – 9 Januari, 2022.
Komen