Siasatan terhadap Azam Baki ikut undang-undang, kata menteri


Ragananthini Vethasalam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu berkata pihaknya sedang berusaha menyelesaikan isu salah laku Azam Baki dengan cara paling baik, meminta orang ramai bertenang sehingga siasatan selesai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2022.

SIASATAN terhadap Ketua Pesuruhjaya Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dilakukan mengikut lunas undang-undang, kata Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menambah keputusan akan diperoleh sebaik siasatan selesai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu berkata kedua-dua Suruhanjaya Sekuriti dan polis sedang meneliti kes itu manakala pandangan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) akan diambil kira.

“Saya sedar ramai yang menuntut tindakan diambil terhadap Azam Baki. Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan semua pihak perkara ini masih dalam siasatan dan kita hanya boleh buat keputusan berhubung perkara ini selepas selesai siasatan oleh SC dan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Sementara menunggu siasatan ini selesai, saya berharap semua pihak bertenang kerana kami cuba sedaya upaya untuk selesaikannya dengan cara yang terbaik,” tambahnya.

Kenyataan itu dibuat ketika enam ahli panel LPPR menjauhkan diri daripada tindakan pengerusi mereka yang melepaskan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki daripada sebarang dakwaan salah laku pemilikan saham.

Ahli lembaga pengarah dalam satu kenyataan hari ini berkata mereka tidak berkongsi pandangan dengan Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang dalam isu tersebut.

“Kami dengan terang dan jelas ingin menyatakan yang ahli lembaga pada mesyuarat atau pada bila-bila masa selepas itu tidak meluahkan pandangan seperti yang dipetik daripada Abu Zahar,” kata mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu berkata kedua-dua Suruhanjaya Sekuriti dan polis sedang meneliti kes itu manakala pandangan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah akan diambil kira. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2022.

Mereka merujuk kepada kenyataan Abu Zahar yang berkata lembaga mendapati Azam Baki tidak melakukan sebarang kesalahan selepas mendengar penjelasannya tentang saham milik adiknya menggunakan akaun transaksi sahamnya.

Saham itu kemudiannya dipindahkan kepada adiknya, dan kerana itu tidak wujud konflik kepentingan, tambahnya.

Ahli lembaga penasihat itu berkata pandangan yang dikeluarkan pada sidang media Rabu lepas, adalah keseluruhannya pandangan peribadi Abu Zahar.

Isu ini turut dibangkitkan di Parlimen pada 14 Disember oleh ahli Parlimen Sungai Buloh R. Sivarasa yang mempersoalkan sama ada Azam Baki telah mengisytiharkan dakwaan 2.15 juta saham dimiliki dalam Excel Force MSC Bhd pada 2015, serta 1.93 juta saham dalam Gets Global Bhd pada tahun sama dan 1.02 juta saham pada tahun berikutnya.

Azam Baki juga berkata beliau telah memaklumkan kepada pihak atasan pada 2015 mengenai pembelian saham oleh adiknya dan tiada sebarang kebimbangan dibangkitkan. 

Wan Junaidi berkata Azam Baki pertama kali membeli sejuta saham dalam syarikat senarai awam pada 2016 dengan harga RM330,000 atau antara 30 sen dan 33 sen sesaham. Saiz semasa pegangan sahamnya terkumpul selama bertahun-tahun.

“Berdasarkan harga awal, ia bukanlah satu saham yang mahal untuk diperoleh. Saya percaya ia mampu dimiliki oleh kebanyakan kita. Bagi mereka yang merupakan peniaga pasaran saham yang aktif, adalah perkara biasa untuk meningkatkan pegangan saham anda secara beransur-ansur dari semasa ke semasa, terutamanya apabila anda melihat potensinya,” katanya.

Tambah Wan Junaisi tiada undang-undang atau peraturan yang melarang penjawat kerajaan daripada memperoleh saham dalam syarikat tersenarai awam.

Di bawah Akta Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, kakitangan kerajaan hanya dilarang berdagang dalam pasaran niaga hadapan, dalam dan luar negara manakala mereka yang memiliki saham dalam syarikat tersenarai awam dikehendaki mengisytiharkannya sebagai aset.

Mengenai tuntutan untuk meletakkan SPRM di bawah Parlimen, Wan Junaidi berkata perkara itu perlu diteliti kerana ia tidak mudah.

Tambahnya, bagi memastikan SPRM berkesan, ia perlu beroperasi secara bebas dan kebebasan suruhanjaya itu dijamin di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694), yang tidak boleh berkompromi dalam apa cara sekalipun. – 8 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen