DAP tawar bantuan guaman untuk aktivis disaman Azam Baki


Ketua SPRM Azam Baki terpalit dakwaan korupsi yang mencetuskan krisis keyakinan terburuk terhadap agensi anti rasuah itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2022.

DAP Kuala Lumpur menawarkan khidmat guaman percuma untuk membela penyelidik dan aktivis anti korupsi Lalitha Kunaratnam, kata Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng hari ini.

Kata pasukan perundangan cawangan itu mahu mempertahankan penulis yang mendedahkan dakwaan salah laku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki di mahkamah.

“Azam pertama-tamanya tidak sepatutnya mengeluarkan surat tuntutan.

“Dia sepatutnya meminta siasatan penuh ke atas dakwaan konflik kepentingan terhadapnya.”

Dua hari lalu, Lalitha berkata beliau diberikan notis oleh firma guaman Zain Megat dan Murad bagi pihak anak guam mereka, Azam Baki.

Lalitha menulis laporan tentang Azam yang didakwanya memiliki jutaan saham dan dua syarikat disenarakan dalam pasaran saham.

Artikel itu diterbitkan dalam laman web Independent News Service bertajuk “Business ties among MACC leadership: How deep does it go? Part 1 and 2.”

Artikelnya itu menyebabkan bekas ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM Edmund Terence Gomez mendesak Pengerusi Panel Borhan Dolah dan Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM Abu Zahar Ujang mengambil tindakan.

Gomez meletak jawatan bulan lepas sebagai protes tiadanya tindakan dalam isu itu.

Bagaimanapun, Lembaga Penasihat SPRM membebaskan Azam daripada sebarang dakwaan salah laku.

Susulan itu, peguam Azam menuntut Lalitha memohon maaf terhadap laporannya dan membayar ganti rugi berjumlah RM10 juta.

Azam juga menjelaskan kepada media yang pembelian saham itu dibuat adiknya, Nasir Baki, menggunakan akaun perdagangan miliknya.

Beliau kemudiannya memindahkan saham itu kepada Nasir.

Tambahnya, beliau juga akan mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang didakwa memfitnahnya.

Sebagai reaksi terhadap isu itu, beberapa wakil rakyat dan peguam mendesak siasatan lanjut dibuat, berkata lembaga penasihat tidak berkuasa membebaskan Azam daripada sebarang dakwaan salah laku.

Wujud juga desakan supaya Azam membatalkan tindakan yang dianggap bertujuan menakut-nakutkan Lalitha dan sebaliknya menawarkan perlindungan pemberi maklumat kepada aktivis itu. – 8 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen