LIM Kit Siang hari ini menyarankan supaya sidang khas Dewan Rakyat bagi membincangkan isu banjir pada 20 Januari ini dilanjutkan supaya kontroversi yang melingkari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dapat dibahaskan.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata SPRM kini menghadapi krisis integriti paling teruk susulan isu pemilikan saham membabitkan ketua pesuruhjayanya Azam Baki.
“Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu melanjutkan sidang khas Parlimen kepada dua hari, dengan hari kedua iaitu 21 Januari khusus untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap program antirasuah kerajaan.
“Dengan itu barulah Parlimen dan perdana menteri dikatakan dapat mengawal isu-isu besar yang melanda negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azam didakwa memiliki saham bernilai jutaan ringgit dalam dua syarikat tersenarai sewaktu menjadi pengarah siasatan SPRM antara 2015 dan 2016.
Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) pada sidang media pada Rabu umum Azam bersih daripada sebarang salah laku berhubung pemilikan saham syarikat korporat tersebut.
Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang berkata akaun untuk transaksi saham berkenaan dibeli di pasaran terbuka oleh adik Azam, Nasir Baki, menggunakan akaun sahamnya pada 2015.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam kenyataan semalam berkata ia akan mendapatkan penjelasan daripada Azam selain mengesahkan kenyataan yang dibuat serta mengumpulkan bukti berkaitan akaun dagangan saham miliknya yang digunakan oleh Nasir.
Menurut SC, di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti Depositori Pusat 1991 (SICDA), setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mestilah atas nama pemilik benefisial saham yang didepositkan atau atas nama syarikat yang diberi kuasa oleh penama. – 7 Januari, 2022.
Komen