Tak perlu rombak kabinet, kata presiden PAS


Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata kabinet tidak perlu dirombak memandangkan para menteri ketika ini telah menjalankan tugas masing-masing dengan baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Januari, 2022.

TIDAK ada keperluan bagi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk melakukan rombakan kabinet ketika ini, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Ini kerana katanya PAS berpendapat barisan jemaah menteri ketika ini telah menjalankan tugas dengan baik.

Malah Abdul Hadi berkata parti Islam itu tidak dimaklumkan oleh perdana menteri berhubung cadangan rombakan tersebut.

“Sehingga hari ini saya rasa tak perlu dan biasanya perdana menteri akan berbincang dulu. Tapi kita tak dapat maklumat.

“Biasanya akan ada perbincangan juga. Sebab tidak ada maklumat jadi itu hanya khabar angin. Bagi kita semua menteri jalankan tugas dengan baik,” katanya kepada media di Masjid Rusila, Marang hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai rancangan rombakan kabinet dan pelantikan timbalan perdana menteri.

Menurut laporan yang memetik sumber itu, Ismail Sabri dijangka melakukan rombakan dan pelantikan timbalan perdana menteri pada minggu depan.

Namun dakwa sumber, rombakan itu masih dalam proses tawar-menawar bagi memutuskan siapa akan kekal, siapa ganti atau siapa bakal digugurkan.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh perdana menteri yang menyatakan ia adalah spekulasi dan tidak ada perbincangan rasmi mengenai rombakan kabinet.

Ditanya mengenai pelantikan timbalan perdana menteri pula, ahli Parlimen Marang itu berkata itu hak perdana menteri.

“Itu terpulang kepada perdana menteri sebab, kalau beliau rasa perlukan pembantu, timbalan perdana menteri kita tunggulah beliau, itu hak beliau,” katanya. – 7 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen