Jawatankuasa teknikal akan kaji geran khas Sabah, kata Ongkili


Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili berkata Jawatankuasa Teknikal Bersama juga akan meneliti tawaran balas kerajaan Persekutuan terhadap cadangan Sabah untuk geran tahunannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2022.

SEBUAH Jawatankuasa Teknikal Bersama akan ditubuhkan oleh Jawatankuasa Perundingan Bersama (JCC) di bawah Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) bagi mengkaji cadangan Sabah untuk geran tahunannya.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili berkata jawatankuasa teknikal itu juga akan meneliti tawaran balas kerajaan Persekutuan terhadap cadangan Sabah tersebut.

Bercakap selepas mesyuarat pertama JCC MA63 antara Persekutuan-Sabah mengenai geran tahunan di Putrajaya hari ini, Ongkili berkata mereka juga membincangkan terma dan rujukan mengenai isu berkaitan geran khas Sabah.

Mesyuarat itu yang dipengerusikan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun merangkap menteri kewangan II negeri, telah membentangkan permohonan Sabah untuk semakan semula geran tahunan bagi pembayaran balik tuntutan yang perlu dibayar segera kepada kerajaan negeri.

“Kerajaan Persekutuan mengemukakan tawaran balas. Bagaimanapun, dalam mesyuarat selama dua jam itu, kami bersetuju untuk sebuah jawatankuasa teknikal mengkaji secara terperinci cadangan negeri dan tawaran balas kerajaan Persekutuan,” kata Ongkili.

Beliau berkata jawatankuasa itu berharap beberapa rumusan dapat dicapai mengenai tuntutan sebelum mesyuarat MKMA63 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bulan depan.

Turut hadir Peguam Besar Sabah Nor Asiah Mohd Yusof, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Rusdin Musidi Riman dan bekas peguam besar Sabah Brenndon Soh. – Bernama, 6 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen