17 kes Omicron tiada rekod vaksinasi Covid-19, kata KP kesihatan


Aminah Farid

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM sedang menjalankan siasatan dengan lebih mendalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2022.

SEBANYAK 17 daripada 122 individu yang dijangkiti varian Omicron setakat 4 Januari adalah pengembara yang tidak mempunyai rekod vaksinasi Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam satu makluman di Twitter hari ini, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menjalankan siasatan dengan lebih mendalam berhubung perkara itu kerana mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan hanya individu yang lengkap vaksinasi dibenarkan masuk atau keluar negara.

“Setakat 4 Januari 2022, varian Omicron yg disahkan dgn ujian jujukan genomik penuh adalah 122 kes, 71 (58%) adalah di kalangan mereka yang pulang dari Arab Saudi. 

“Daripada 122 kes tersebut 17 kes (14%) tidak divaksinkan seperti yang diperlukan. KKM sedang menyiasat perkara ini dengan lebih mendalam,” tulisnya.

Daripada 17 individu yang tidak divaksin itu, masing-masing empat adalah pengembara dari United Kingdom, Nigeria dan Emiriah Arab Bersatu. Selebihnya masing-masing satu kes dari Amerika Syarikat, Australia, Ghana, Ireland dan Arab Saudi.

Kerajaan menangguhkan kebenaran perjalanan mengerjakan umrah selama sebulan berkuatkuasa 8 Januari bagi membendung penularan varian Omicron.

Setakat ini, sebanyak 245 varian Omicron telah dikesan dalam negara, dengan 157 atau 64.8% daripadanya membabitkan jemaah umrah. – 6 Januari, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen