Penangpac melabuhkan tirai selepas 10 tahun 


Ragananthini Vethasalam

PUSAT Seni Persembahan Pulau Pinang (penangpac) akan menutup operasinya pada 15 Januari selepas berdepan masalah kewangan akibat pandemik Covid-19. 

“Dengan rasa sedih Actors Studio dan Eastern Oriental Berhad telah bersetuju untuk menutup penangpac kerana ia tidak lagi mampan dari segi kewangan.

“Ini sebahagiannya disebabkan oleh dua tahun yang dahsyat berpunca daripada pandemik dan kesan selepasnya serta prospek serta pemulihan segera yang lemah,” kata penangpac dalam satu kenyataan.

Pengumuman itu mengakhiri perbincangan sejak beberapa bulan lalu antara kedua-dua pihak.

“Walaupun segala usaha telah dilakukan untuk menjamin masa depan penangpac, ia telah terbukti mustahil dalam situasi semasa ini,” kata kenyataan itu.

Premis akan ditutup dan ruang akan dikembalikan kepada E&O Trading pada hari penutupan.

Pengasas bersama pusat itu Faridah Merican dan Joe Hasham berkata keputusan itu bukan sesuatu yang mudah. 

“Memang menyayat hati penangpac terpaksa tutup tetapi kita mesti berdepan dengan fakta dan realiti.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Eastern & Oriental Berhad kerana bekerjasama dengan The Actors Studio untuk menubuhkan penangpac 10 tahun lalu dan menempatkan kami di Straits Quay di mana kami telah menikmati 10 tahun yang luar biasa,” kata mereka.

“Sepanjang masa ini, kami berpeluang menyaksikan banyak kumpulan seni persembahan dan artis berkembang, menjadi tuan rumah kepada banyak kumpulan antarabangsa dan mencipta apa yang kami harapkan sebagai rumah mesra bagi komuniti seni persembahan di utara.

“Kami juga telah menerima banyak kemesraan, penjagaan dan kemurahan hati daripada pelanggan, pelajar, penaja, rakan kongsi, kakitangan, bekas kakitangan dan pelatih kami, untuk itu, kami mengucapkan terima kasih.

“Penangpac sebagai sebuah institusi dan ruang yang mungkin tidak lagi wujud pada 15 Januari tetapi semoga impian dan harapan untuk memajukan seni di Pulau Pinang dan wilayah Utara terus hidup dalam diri kita semua penggiat seni,” tambah mereka.

Faridah dan Joe juga berharap The Actors Studio akan kembali ke Pulau Pinang.

Penangpac telah mengadakan 1,000 persembahan dan acara termasuk 100 kumpulan antarabangsa, menghiburkan 250,000 penonton dari semua lapisan masyarakat. – 6 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen