64% atau 157 daripada jumlah keseluruhan 245 kes Omicron di Malaysia setakat ini melibatkan jemaah umrah, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.
Beliau yang mendedahkan angka itu pada sidang media hari ini berkata, dengan 123 kes baharu Omicron yang dikesan menjadikan jumlah keseluruhan kes membabitkan varian itu kepada 245.
Daripada 245 kes, 233 adalah kes import dan manakala 12 penularan tempatan.
Khairy juga menyatakan bahawa untuk minggu terakhir 2021, daripada 1,800 kes Covid-19 yang dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, 85% daripada jangkitan itu adalah orang yang pulang menunaikan umrah.
“Kumpulan ini mempunyai kes positif Covid-19 paling tinggi dan paling banyak kes melibatkan varian omicron,” katanya.
Khairy juga berkata KKM akan mengekalkan keputusannya melarang perjalanan umrah selama sebulan bermula 8 Januari ini.
Beliau berkata kementerian akan melakukan penilaian risiko di Malaysia dan Arab Saudi untuk memastikan bila perjalanan umrah boleh disambung semula.
Secara keseluruhan, negara telah merekodkan 2,776,699 juta jangkitan Covid-19 dan 31,609 kematian.
Khairy juga mengumumkan pembukaan semula empat pusat vaksinasi pada 15 Januari untuk program suntikan dos penggalak.
Pusat-pusat tersebut ialah; Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur, Arena Axiata di Bukit Jalil, Ideal Convention Centre (IDCC) di Shah Alam dan Soka Gakkai di Klang. – 6 Januari, 2022.
Komen