KEMENTERIAN Kesihatan hari ini memberi kelulusan bersyarat untuk suntikan vaksin Pfizer-Comirnaty BioNTech kepada kanak-kanak berumur antara 5 hingga 11 tahun.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) hari ini.
“Kelulusan pendaftaran bersyarat ini masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.
“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin-vaksin tersebut kekal positif.”
Kanak-kanak dalam kumpulan umur ini akan menerima 10mcg vaksin, iaitu dos yang lebih rendah daripada yang diberikan kepada individu berumur 12 tahun ke atas.
Vaksin ini merupakan formulasi baharu yang tidak memerlukan pencairan sebelum administrasi dan mempunyai tempoh jangka hayat yang lebih panjang,
“Formula baharu ini mempunyai tempoh hayat lebih panjang – 10 minggu – berbanding formulasi sedia ada (1 bulan) apabila disimpan pada suhu 2 ºC hingga 8 ºC setelah dinyahbeku.
Pada 29 Oktober, Khairy mengesahkan bahawa Malaysia akan membeli vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun.
Ini selepas kerajaan AS mengesyorkan vaksin untuk kanak-kanak.
Malaysia juga akan mempertimbangkan kaedah alternatif, seperti suntikan Sinovac, kata Khairy.
Sehingga kini, 58.55 juta suntikan vaksin telah diberikan kepada populasi dewasa dan remaja, yang mana ia melibatkan 5.6 juta suntikan. – 6 Januari, 2022.
Komen