Suruhanjaya Sekuriti akan dapatkan penjelasan Azam isu pemilikan saham


Ragananthini Vethasalam

Pada sidang media semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata adiknya Nasir Baki membeli saham menggunakan akaun perdagangannya menerusi pasaran terbuka pada 2015. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2022.

SURUHANJAYA Sekuriti Malaysia (SC) akan menghubungi Azam Baki bagi mendapatkan penjelasan mengenai akaun dagangan saham ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencagahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu digunakan oleh adiknya untuk membeli saham pada 2015.

“SC akan menghubungi pihak terbabit termasuk Tan Sri Azam Baki bagi mendapatkan penjelasan dan mengesahkan kenyataan yang telah dibuat, serta mengumpul sebarang bukti berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada sidang media semalam, Azam berkata adiknya Nasir Baki membeli saham menggunakan akaun perdagangannya menerusi pasaran terbuka pada 2015.

Saham-saham berkenaan kemudian dipindahkan semula kepada Nasir pada tahun yang sama, katanya. 

Isu transaksi jual beli saham bernilai jutaan ringgit membabitkan Azam dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa di Parlimen pada 14 Disember lalu.

Sivarasa mendakwa beliau mendapat maklumat bahawa Azam memiliki 2.15 juta saham dalam Excel Force MSC Bhd dan 1.93 juta saham dalam Gets Global Bhd pada 2015, serta 1.02 juta lagi pada 2016.

Azam berkata pembelian saham menggunakan akaun dagangannya telahpun dijelaskan kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan perkara itu katanya tidak harus menjadi isu.

Bagaimanapun, menurut SC Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) menyebut semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan.

“Selain itu, Seksyen 29A SICDA menetapkan bahawa semua urus niaga sekuriti hanya boleh dilakukan oleh pemilik manfaat sekuriti atau penama yang dibenarkan,” kata kenyataan pengawal selia pasaran modal tempatan itu.

Sementara itu, seorang broker saham yang mahu namanya dirahsiakan memberitahu The Malaysian Insight, transaksi saham menggunakan akaun dagangan orang lain menyalahi undang-undang melainkan ia diisytihar terlebih dahulu.

Malah Suruhanjaya Syarikat Malaysia juga telah mengeluarkan kerangka pelaporan pemunyaan benefisial atau beneficial ownership (BO). 

Pemunyaan benefisial ialah individu sebenar yang memiliki dan menguasai sesebuah syarikat walaupun penyandang jawatan di dalam syarikat itu menggunakan nama individu lain. – 6 Januari, 2022. 

Berita penuh di sini


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen