SPRM padam video kempen antirasuah isu sijil cuti sakit palsu


SPRM dalam satu kenyataan mengumumkan, langkah itu dibuat bagi menjaga sensitiviti dan keharmonian hubungan semua pihak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 6 Januari, 2022.

AGENSI antirasuah menurunkan video kempen menunjukkan pelakuan pegawai perubatan memberi sijil cuti sakit palsu yang meraih kecaman pengamal perubatan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan mengumumkan, langkah itu dibuat bagi menjaga sensitiviti dan keharmonian hubungan semua pihak.

“Suruhanjaya ini tidak berniat untuk menjatuhkan atau mempersoalkan profesionalisme pakar atau pengamal perubatan dalam isu berkenaan,” jelasnya.

Menurut agensi itu lagi, isu dipaparkan dalam video tersebut berdasarkan kes sebenar yang pernah disiasat badan tersebut.

“Video yang diterbitkan bertujuan untuk mendidik masyarakat serta memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perbuatan menawar, memberi dan menerima rasuah.”

Video bertajuk ‘MC boleh menjadi rasuah’ itu diterbitkan SPRM pada 4 Januari.

Ia meraih kecaman Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang menggesa SPRM menyelesaikan isu melingkarinya terlebih dahulu sebelum mengaitkan badan lain dengan kes rasuah.

SPRM kini dirundung kontroversi selepas ketua pesuruhjayanya Azam Baki didapati terlibat dengan transaksi jual beli saham bernilai jutaan ringgit.

Pengerusi salah satu lembaganya Abu Zahar Ujang bagaimanapun semalam menjelaskan, akaun untuk transaksi saham berkenaan digunakan oleh adik kepada Azam.

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah juga mengumumkan Azam bersih daripada sebarang salah laku berhubung pemilikan saham syarikat korporat itu.

Isu berkenaan antara perkara utama dibangkitkan bekas ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM Edmund Terence Gomez yang meletak jawatan pada 27 Disember.

Beliau membangkitkan bahawa Pengerusi PPPR Borhan Dollah dan Abu Zahar tidak mempedulikan mengenai dakwaan integriti serta kredibiliti SPRM serta Azam.  – 6 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen