Ismail Sabri tidak boleh berdiam diri isu Azam Baki, kata ahli Parlimen PKR


Alfian Z.M. Tahir

Ahli Parlimen menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membuka siasatan berhubung dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2022.

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki bukan hanya bertanggungjawab kepada Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM Abu Zahar Ujang, tetapi juga kepada perdana menteri, kata ahli Parlimen PKR hari ini. 

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata Azam tidak dilantik oleh Abu Zahar untuk mengetuai suruhanjaya itu tetapi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.

“Azam silap apabila memberitahu media semalam bahawa beliau hanya bertanggungjawab menjelaskan kepada  Abu Zahar.

“Beliau bertanggungjawab kepada PM. Ini ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan,” kata Hassan.

Beliau berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mempunyai tanggungjawab untuk menyelesaikan kemelut ini.

“Beliau sepatutnya menggesa peguam negara untuk membuka siasatan. PM tidak boleh berdiam diri.

“Isu itu telah didedahkan selama lebih sebulan dan sikap berdiam diri PM membingungkan,” kata Hassan dalam sidang media maya yang dihadiri tujuh ahli Parlimen PKR yang lain.

Bulan lalu, Ahli Parlimen Sungai Buloh R. Sivarasa membangkitkan isu saham Azam dalam dua syarikat dan mempersoalkan mengapa beliau tidak mengisytiharkannya.

Ahli panel pemerhati SPRM, Edmund Terence Gomez berkata, sejak 10 November beliau telah menulis surat kepada dua pengerusi panel, Abu Zahar Ujang dan Borhan Dolah, menggesa mereka menangani perkara itu.

Gomez meletak jawatan pada 27 Disember dalam apa yang dikatakannya sebagai protes atas kekurangan tindakan mereka.

Semalam, Abu Zahar, yang mempengerusikan LPPR, berkata beliau telah membebaskan Azam daripada salah laku.

Abu Zahar berkata, dia telah menerima penjelasan Azam bahawa saham itu dibeli oleh adiknya pada 2015, menggunakan akaun Azam, sebelum dipindahkan kepada adiknya.

Sidang media semalam merupakan kali pertama agensi itu menangani dakwaan terhadap Azam. Abu Zahar juga berkata Azam telah memberi penjelasan kepada lembaga itu pada 24 November lalu.

Azam dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 semasa Muhyiddin Yassin menjadi PM.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin mempersoalkan adakah Ismail Sabri serius dalam membasmi rasuah dan menegakkan integriti agensi anti rasuah itu.

“Skandal ini telah dibangkitkan sejak Disember tetapi adakah kita serius dalam memerangi rasuah di Malaysia,” kata Sim.

“Ini adalah isu besar yang boleh mencemarkan imej SPRM. Tidak perlu ada tutup mulut kerana majoriti rakyat mengundi kerajaan yang telus apabila mereka memilih Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lalu.”

Beliau juga berkata lembaga penasihat tidak mempunyai kuasa untuk membebaskan Azam daripada dakwaan ini.

“Lembaga pengarah hanya boleh menasihati suruhanjaya itu mengenai isu berkaitan rasuah, ia hanya boleh meneliti laporan, tetapi tidak membersihkan Azam daripada sebarang salah laku,” tambah Sim. – 6 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen