Undi PAS demi negara yang lebih selamat, kata Hadi


Gan Pei Ling

Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika berucap pada 'Himpunan Perak Istiqamah Himmah 12k' di Perak, malam tadi. Beliau menegaskan pegangan agama di kalangan ahli PAS memastikan mereka tidak terjebak dengan isu perkauman. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 Februari, 2018.

TRAGEDI 13 Mei tidak berlaku di negeri yang mempunyai sokongan kuat terhadap PAS kerana Islam mengajar pengikutnya berperikemanusiaan, kata presidennya Abdul Hadi Awang.

“Rusuhan kaum (berlaku) kerana ketegangan perkauman mereka. (Ini) tidak berlaku di Kelantan, Kedah. Tidak berlaku di negeri yang kuat PAS,” kata Hadi kepada penyokong parti pada perhimpunan pra-pilihan raya di Ipoh malam tadi.

Beliau berkata, keluarga Cina dan kedai kepunyaan bukan Islam di semua negeri itu selamat semasa berlakunya pertembungan perkauman di Kuala Lumpur selepas pilihan raya 13 Mei 1969.

“Ini sifat kemanusiaan yang diajar oleh Islam, tempat yang jahil agama berlaku kerosakan,” kata Hadi.

Hampir 200 orang terkorban pada 13 Mei itu mengikut angka rasmi yang dikeluarkan. Rumah, kedai dan kenderaan dibakar. Akibatnya, kerajaan mengisytiharkan darurat dan Parlimen digantung.

Hadi mengulangi rancangannya untuk menjadi “kingmaker” dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan memenangi 40 kerusi persekutuan.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sama ada parti itu akan menyokong Barisan Nasional atau Pakatan Harapan, yang dikecamnya.

Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, parti itu sudah memutuskan calon untuk kebanyakan kerusi negeri.

“Kami sudah ada nama untuk 43 kerusi. Untuk menang Perak kita hanya perlu 30 kerusi,” kata Razman.

Seramai 2,000 hingga 3,000 orang menghadiri perhimpunan tersebut.

Keputusan terbaik bagi pilihan raya PAS di Perak pada 2008, apabila ia memenangi dua kerusi persekutuan dan enam kerusi DUN ketika menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat.

Pada 2013, PAS mengekalkan dua kerusi Parlimen (Parit Buntar dan Bukit Gantang) daripada tujuh yang dipertandingkan dan memenangi satu kerusi.

Ia hilang Lubok Merbau, Pasir Panjang dan Changkat Jong kepada BN tetapi menang Changkat Jering dan Sungai Rapat.

Ia tidak memenangi mana-mana kerusi persekutuan atau negeri di Perak pada 2004. – 4 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Selamat ke tidak selamat, golongan mana satu yg menghasut dan mulakan, mata kita tidak buta sampai tidak nampak.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan