MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan beliau belum menerima vaksin Covid-19.
Ini berikutan tangkap layar lama status vaksinasinya daripada laman web Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), yang kini tidak aktif berikutan kadar vaksinasi yang tinggi di Malaysia.
Tangkap layar berkenaan yang menunjukkan statusnya sebagai “Sedang Diproses” tular di media sosial dan menteri berkenaan menerima kritikan serta gesaan untuk penjelasan.
Khairy hari ini berkata beliau melengkapkan dua dos vaksin CoronaVac (Sinovac) dan menerima suntikan dos penggalak pada September 2021.
“Saya telahpun mendapat suntikan dos pertama vaksin CoronaVac pada 18 Mac, 2021 dan merupakan individu pertama di Malaysia yang menerima vaksin keluaran Sinovac tersebut.
“Malah, pengambilan dos pertama tersebut turut disiarkan secara langsung di saluran televisyen dan saya juga telah menunjukkan paparan MySejahtera saya selepas saya menerima vaksin tersebut. Manakala suntikan dos kedua telah saya terima pada 8 April 2021.
“Saya juga sudah menerima suntikan dos penggalak vaksin Comirnaty keluaran Pfizer pada September lalu sebelum berlepas ke Himeji, Jepun bagi Mesyuarat Jawatankuasa Rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WPRCM) Ke-72.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menafikan sekali lagi maklumat yang dipaparkan di dalam tangkap layar yang tular tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengenai tangkap layar berkenaan, Khairy berkata laman sesawang PICK diwujudkan pada peringkat awal pelaksanaan program vaksinasi kebangsaan bagi memudahkan urusan semakan kepada orang awam.
Selepas kadar vaksinasi populasi dewasa mencapai 90 peratus pada bulan Oktober 2021, laman sesawang tersebut tidak lagi aktif atau dikemas kini, tambahnya.
Khairy turut menggesa orang ramai agar tidak terpengaruh dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menidakkan usaha vaksinasi negara. – 6 Januari, 2022.
Komen