Pembela mahu Azam letak jawatan atau bercuti


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki didakwa memiliki berjuta-juta saham korporat dalam dua syarikat dan kemungkinan beliau tidak mengisytiharkannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2022.

NGO Islam Pembela menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki meletakkan jawatan buat sementara waktu bagi membenarkan siasatan terhadap dakwaan salah laku berhubung pemilikan saham korporatnya.

Pengerusi badan bukan kerajaan berhaluan kanan berkenaan Aminudin Yahaya berkata Azam harus “gentleman” dan membenarkan siasatan dijalankan ke atasnya.

“Jadilah ‘gentleman’ dan berani tampil ke hadapan. Biarkan siasatan berjalan lancar.

“Kami berpendapat Azam harus meletakkan jawatan atau sekurang-kurangnya bercuti sebagai ketua SPRM sepanjang siasatan. Beliau tidak perlu risau jika berada di pihak yang betul.

“Bagi Pembela kami tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku terutamanya dalam badan seperti SPRM,” kata Aminudin.

Dakwaan terhadap Azam mengenai pemilikan berjuta-juta saham korporat dalam dua syarikat dan kemungkinan beliau tidak mengisytiharkannya dibangkitkan bulan lalu di Parlimen oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa.

Dakwaan itu juga diketahui oleh ahli panel pengawasan SPRM Edmund Terence Gomez yang sejak 10 November menulis e-mel dan melampirkan maklumat berkaitan kepada dua pengerusi panel Abu Zahar Ujang dan Borhan Dolah.

Gomez meletak jawatan pada 27 Disember protes atas kegagalannya bertindak terhadap dakwaan pemilikan saham oleh Azam Baki dalam sebuah syarikat senarai awam.

Semalam Abu Zahar yang mempengerusikan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM berkata nama Azam dibersihkan kerana saham itu dibeli adiknya pada 2015 menggunakan akaun dagangan Azam sebelum dipindahkan kepada adiknya kemudian.

Sidang media semalam adalah kali pertama agensi itu menangani dakwaan terhadap Azam. Abu Zahar juga berkata Azam memberi penjelasan kepada lembaga itu pada 24 November lalu.

Pengkritik berkata siasatan dalaman tidak mencukupi untuk membersihkan Azam dan sebaliknya mahukan siasatan bebas. 

Terdapat juga persoalan sama ada Azam mungkin melanggar Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) dengan membenarkan akaun dagangannya digunakan oleh orang lain.

Aminudin berkata memandangkan seriusnya dakwaan itu perkara itu mesti dibawa kepada perhatian jawatankuasa pilihan khas Parlimen.

“Biarkan mereka meneliti perkara itu kerana ini adalah isu yang sangat serius.

“Pembela juga tidak akan lupa bagaimana SPRM mengetepikan aduan kami berkenaan tanah di Pahang diratakan dan diberikan kepada ahli perniagaan tertentu walaupun kami mengeluarkan bukti kukuh,” katanya. – 6 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen