KADAR keciciran sekolah antara Mac 2020 dan Julai 2021 mungkin lebih tinggi daripada jumlah 21,316 yang didakwa Putrajaya sebelum ini, kata kumpulan pendidikan.
Setiausaha Kehormat Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE) Tunku Munawirah Putra memberitahu The Malaysian Insight keciciran sekolah pra-Covid berjumlah kira-kira 60,000 atau 1.2% menunjukkan statistik terkini tentang keciciran semasa wabak mungkin kurang didedahkan.
Bulan lalu Kementerian Pendidikan memberitahu Parlimen seramai 21,316 pelajar tidak menamatkan pengajian dan berhenti sekolah dari Mac 2020 hingga Julai 2021.
Dari Mac hingga Disember 2020 seramai 11,301 pelajar berhenti sekolah manakala 10,015 lagi berhenti sekolah antara Januari dan Julai 2021.
Timbalan Menteri Pendidikan Dr Mah Hang Soon berkata jumlah keciciran sekolah adalah lebih tinggi sebelum wabak Covid-19 melanda menunjukkan pada 2018 seramai 34,074 pelajar tercicir dari sekolah.
“Isu angka keciciran yang menunjukkan peningkatan dari tahun sebelumnya walaupun pandemik adalah disebabkan oleh kad laporan 100 hari kerajaan baharu ini,” kata Munawairah.
Di peringkat global hanya kira-kira 35% daripada 539 juta pelajar dari peringkat pra-rendah hingga menengah sudah kembali ke sekolah pada 2021 berbanding 16% pada 2020, menurut Unesco.
Pada 2020 tinjauan “Family On Edge” yang ditugaskan bersama oleh Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) mendapati bilangan pelajar daripada kebanyakan komuniti miskin Lembah Klang yang kembali ke sekolah menurun pada tahap yang membimbangkan akibat wabak Covid-19.
Antara dapatan kajian ialah sebilangan kanak-kanak hilang semangat atau hilang minat untuk meneruskan persekolahan manakala beberapa keluarga berdepan kesukaran membayar yuran persekolahan dan pengangkutan atau memberi wang saku kepada anak-anak mereka.
Munawirah berkata ini adalah bencana sosioekonomi kerana penyelidikan menunjukkan pelajar lepasan sekolah menengah akan memperoleh 50% hingga 100% lebih daripada mereka yang tidak menamatkan pendidikan rendah mereka.
Beliau juga berkata pelajar tercicir sekolah lebih bergantung kepada kebajikan dan lebih berkemungkinan terlibat dalam jenayah.
“Ini akan menjadi kerugian besar kepada ekonomi di mana mereka berpotensi menyumbang dengan pendapatan mereka.
“Setiap kanak-kanak yang tercicir daripada persekolahan arus perdana harus menjadi kebimbangan utama semua orang dewasa,” katanya.
Munawirah berkata semasa pandemik ramai pelajar tidak dapat belajar atas beberapa sebab dan oleh itu mereka mengambil jalan mudah untuk berhenti sekolah daripada menanggung kesukaran mengejar pelajaran yang tertinggal.
Malaysia dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada 18 Mac 2020 dan melalui pelbagai fasa dan versi sekatan pergerakan termasuk penutupan sekolah serta peralihan ke dalam kelas dalam talian.
Pravin Balakrishnan seorang guru sekolah menengah berkata sebelum wabak itu keciciran sekolah adalah “isu senyap” yang dihadapi sekolah bagaimanapun ia diburukkan lagi akibat wabak berkenaan.
“Pandemik telah memberi pilihan dan mendorong keputusan pelajar meninggalkan persekolahan kerana mereka melihat nilai kecil dalam yang ditawarkannya.
“Ini saya akan katakan menyebabkan peningkatan keciciran sekolah pada tahap tertentu,” katanya.
Pravin berkata majoriti pelajar yang tercicir biasanya adalah pelajar sekolah menengah kerana mereka lebih berdikari.
Beliau berkata walaupun kadar keciciran sekolah lebih rendah berbanding zaman pra-Covid seperti yang didakwa Kementerian Pendidikan namun ia masih membimbangkan.
Tetapi beliau bagaimanapun berkata ia tidak mengejutkan.
“Secara peribadi saya tidak rasa ini mengejutkan. Anda boleh bertanya kepada guru lain juga dan saya rasa anda akan mendapat jawapan yang sama.
“Ini bukan masalah yang berpunca daripada wabak ini, ini adalah masalah yang berpunca daripada bagaimana pendidikan diatur dan dilihat serta wabak itu baru sahaja mendedahkannya,” katanya. – 7 Januari, 2022.
Berita penuh di sini.
Komen