PUTRAJAYA perlu menarik balik Rang Undang-Undang Kerja (pindaan) selepas gagal mencakupi 10 daripada 11 definisi buruh paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) ke dalam rancangan itu, kata ahli Parlimen Klang Charles Santiago.
Bercakap pada forum dalam talian “Menangani Isu Buruh Paksa di Malaysia” malam ini, Santiago berkata definisi semasa yang digunakan dalam NAPFL hanya memasukkan satu indikator buruh paksa ILO iaitu “sekatan pergerakan.”
Namun katanya kerajaan tidak memasukkan lagi sembilan iaitu salah guna kelemahan, penipuan, pengasingan, keganasan fizikal dan seksual, ugutan dan ancaman, menahan dokumen pengenalan diri, penahanan gaji, ikatan hutang, keadaan kerja dan kehidupan yang teruk serta kerja lebih masa yang me;ampau.
Tambahnya jika Putrajaya mahu teruskan pelan itu, ia perlu memasukkan semua indikator ILO mengenai buruh paksa dan menghasilkan definisi yang jelas tentangnya.
Santiago turut menggesa Putrajaya memasukkan isu seperti buruh kanak-kanak dan isu lain di bawah pelan itu bagi mengelak majikan memperguna kelemahan pelan itu.
“Penarikan Dyson dari negara ini sepatutnya menjadi peringatan kepada kerajaan dan majikan mengenai seriusnya isu buruh,” kata Santiago.
“Isu buruh telah menjadi isu sampingan dalam syarikat dan ia perlu diubah,” kata ahli Parlimen DAP itu.

Kes terbaharu melibatkan pengeluar tempatan ATA IMS yang membuat alat ganti untuk pembersih vakum dan penapis udara Dyson. Pada November, Dyson memutuskan hubungan dengan syarikat itu atas isu penderaan buruh.
Malaysia baru-baru ini melancarkan NAPFL di bawah Kementerian Sumber Manusia selepas beberapa syarikat besar didapati melanggar isu buruh.
Sebuah kuasa besar perindustrian, Malaysia telah dikecam tahun lepas kerana dakwaan pekerja asing terpaksa bekerja dan hidup dalam keadaan yang teruk. Warga asing membentuk sebahagian besar tenaga kerja negara.
Tujuh syarikat Malaysia, termasuk pembuat sarung tangan getah dan pengeluar minyak sawit, telah dihalang daripada mengeksport produk mereka ke Amerika Syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini selepas didapati ada buruh paksa.
Pekerja migran dan aktivis buruh, Andy Hall, yang juga penceramah pada forum malam ini berkata dasar mengenai hak dan isu buruh perlu diubah secara radikal kerana dasar itu sendiri yang menggalakkan buruh paksa.
Beliau berkata kerajaan tidak boleh menangani buruh paksa jika terus melihat isu itu melalui kaca mata keselamatan negara.
Hall juga berkata rasuah sistemik membantu menghidupkan lagi buruh paksa dan salah guna yang lain.
Sebagai contoh, kata Andy, talian bantuan yang disediakan untuk pekerja membuat aduan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia bukan sahaja menyusahkan pekerja asing malah gagal melindungi mereka.
Malaysia baru-baru ini melancarkan NAPFL di bawah Kementerian Sumber Manusia selepas beberapa syarikat besar tempatan terperangkap dalam dakwaan penderaan buruh.
“Melainkan banyak perkara berubah, maka NAFPL hanyalah sekadar sekeping kertas,” katanya. – 5 Januari, 2022.
Komen