Ramai wanita luar bandar didiagnosis kanser payudara tahap teruk


Ragananthini Vethasalam

Takut dan stigma dikaitkan dengan kanser payudara antara isu paling biasa di kalangan wanita luar bandar, kata pengasas Pink Ribbon Wellness Foundation. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2022.

KURANG kesedaran terhadap kanser payudara di kawasan luar bandar menyebabkan ramai wanita didiagnosis kanser yang sudah teruk, kata pengasas Pink Ribbon Wellness Foundation, Yong Lee Lee.

Kesedaran yang rendah dikesan di pantai timur, tambah ketua pegawai eksekutif yayasan itu.

“(Di) pantai timur, ramai wanita didiagnosis pada tahap lanjut (tahap 3 dan 4),” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Ketakutan dan stigma yang dikaitkan dengan kanser payudara adalah isu yang paling biasa di kalangan wanita di kawasan luar bandar.”

Kanser payudara adalah kanser paling biasa menyerang wanita di Malaysia, menyumbang 34% daripada semua kes kanser dalam kalangan wanita.

Terdapat lebih 8,400 kes baharu didiagnosis setiap tahun, dengan lebih 3,500 kematian setiap tahun.

Insiden kanser payudara juga meningkat malah pada wanita yang lebih muda juga, kata Yong, memetik angka dari Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan.

Bagi tempoh 2012-2016, 47.9% wanita menghidap kanser payudara tahap 3 dan 4, berbanding 43.2% untuk tempoh lima tahun sebelumnya, dari 2007 hingga 2011.

“Ini adalah peningkatan sebanyak 1.17% kes setahun, dengan 52% penyakit kanser pada wanita yang lebih muda, ketara di bawah umur 49 tahun.”

Yong berkata kanser payudara boleh dirawat jika ia didiagnosis lebih awal dan peluang untuk hidup lebih tinggi kerana penambahbaikan dalam pemeriksaan, rawatan dan pencegahan kanser.

Beliau berkata banyak aktiviti kesedaran kanser payudara diadakan sepanjang Bulan Kesedaran Kanser Payudara pada Oktober.

“Kempen kesedaran ini harus menjadi usaha berterusan semua kumpulan masyarakat sivil dan syarikat korporat untuk mengingatkan setiap wanita yang berumur 40 tahun ke atas supaya menjalani pemeriksaan mamogram setahun sekali dan pemeriksaan sendiri payudara setiap bulan, bermula pada usia 20 tahun.

“Pengesanan awal menyelamatkan nyawa dan meminimumkan kos rawatan perubatan,” katanya.

Pink Ribbon Wellness Foundation menyokong pemeriksaan payudara secara berkala untuk pengesanan awal kanser, secara aktif menganjurkan kuliah tentang pelbagai pilihan rawatan pakar dan juga menyediakan penjagaan sokongan.

Ia juga menerajui pembentukan Pink Ribbon Alliance pada 2015 dengan 18 kumpulan sokongan kanser payudara di seluruh negara.

Menurut statistik Kementerian Kesihatan, kanser payudara adalah kanser yang paling biasa di Malaysia iaitu 19%, diikuti kanser kolorektal (13.5%) dan kanser paru-paru (9.8%).

Pada 2019, kanser menjadi penyebab utama kematian di hospital swasta (33.19%) dan kos keempat tertinggi di hospital kerajaan (12.18%). – 6 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen