Bila pemilik tanah Kg Baru dan pemaju akan berbincang? soal Khalid


Ragananthini Vethasalam

Bekas menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad hari ini mempersoalkan mengapa masih tiada mesyuarat antara pemilik tanah Kampung Baru dan pemaju sedangkan Shahidan Kassim sudah berjanji untuk adakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2022.

MESYUARAT antara pemilik tanah Kampung Baru dan pemaju berhubung isu pengambilan tanah masih belum diadakan walaupun janji telah ditabur Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim, kata Khalid Samad hari ini.

Khalid, yang merupakan Menteri Wilayah Persekutuan dalam kerajaan Pakatan Harapan, berkata Shahidan telah berjanji untuk berbuat demikian dalam Kamar Khas Parlimen pada 13 Disember.

“Malangnya sehingga hari ini, saya dihubungi oleh para pemilik tanah memaklumkan tiada sebarang pertemuan seperti yang dijanjikan oleh menteri telah diaturkan atau diadakan,” kata Khalid dalam satu kenyataan.

Beliau berkata sesi perbicaraan kedua akan diadakan di Pejabat Tanah dan Galian pada 19 Januari, bagi memuktamadkan proses pengambilan tanah bagi memberi laluan kepada pembangunan.

“Bagaimana ini boleh berlaku dalam keadaan Menteri memberi akujanji akan menangguhkan segala proses pengambilan tanah dan mengadakan pertemuan di antara pemaju dan pemilik?” Soal Khalid.

Beliau berkata ini telah menyebabkan pemilik tanah berada dalam tekanan tidak tahu apa yang akan berlaku.

Tambah Khalid, menteri perlu bertanggungjawab tunaikan janjinya dengan mengadakan pertemuah segera antara pemaju dan pemilik bagi menyelesaikan semua isu yang timbul.

Kerajaan bertindak menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 di mana pemilik tanah ditawar pampasan sebanyak RM400 sekaki persegi.

Semasa pentadbiran Pakatan Harapan, Khalid telah membuat tawaran RM850 dengan tambahan RM150 setiap kaki persegi kepada penduduk Kampung Baru.

Beliau berjaya mendapat persetujuan sehingga 63 peratus penduduk terhadap cadangan pembelian oleh kerajaan.

Ketika itu, pembangkang termasuk ketua pembangkang Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak boleh menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk membangunkan Kampung Baru melainkan membina kemudahan awam seperti hospital. – 5 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen