Bekas CFO 1MDB nafi saman digugurkan untuk jadi saksi terhadap Najib


Hailey Chung Wee Kye

SEORANG bekas ketua pegawai kewangan (CFO) 1Malaysia Development Bhd (1MDB) hari ini menafikan beliau digugurkan sebagai defendan dalam saman sivil oleh 1MDB supaya dapat memberi keterangan terhadap Najib Razak.

Bekas CFO Azmi Tahir menafikan perkara tersebut apabila disoal peguam bela Najib, Hariharan Tara Singh dalam perbicaraan rasuah bekas perdana menteri membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. 

Saman sivil AS$8 bilion (RM33.26 bilion) oleh 1MDB terhadap bekas pemegang jawatan syarikat itu difailkan pada Mei tahun lalu. Pada Ogos tahun sama, nama Azmi dan enam yang lain telah digugurkan daripada saman itu.

Hariharan: Saya nyatakan kepada anda nama anda telah dibuang supaya anda dapat beri bukti terhadap Najib?

Azmi: Saya tidak setuju.

Hariharan: Sekarang, adakah anda bersetuju orang yang tidak dipanggil sebagai saksi, nama mereka kekal sebagai defendan dalam saman itu?

Azmi: Nampak macam itu.

Azmi merupakan saksi pendakwaan ke-12 dalam perbicaraan rasuah 1MDB Najib.

Hariharan berkata 1MDB juga telah menggugurkan defendan lain atas sebab yang sama, untuk memberi keterangan sebagai saksi terhadap Najib. Ini termasuk bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman dan bekas pengarah 1MDB Ismee Ismail.

Saman AS$8 bilion (RM33.2 bilion) 1MDB adalah salah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan firma pelaburan negara itu untuk menuntut lebih AS$23 bilion (RM95.5 bilion) untuknya dan bekas anak syarikatnya SRC International.

Pembuangan nama Azmi terkandung dalam writ pindaan yang difailkan pada 12 Julai tahun lepas.

Hariharan hari ini memberitahu kepada mahkamah beberapa pertuduhan yang dihadapi oleh bekas kakitangan 1MDB yang lain, seperti dakwaan pertuduhan pecah amanah jenayah harta 1MDB bernilai AS$125 juta (RM522 juta) terhadap timbalan Azmi ketika itu, Terence Geh Choh Heng.

Peguam pembelaan kemudian mempersoalkan mengapa Azmi sebagai CFO ketika itu, dan sebagai atasan dan penandatangan bersama Geh, selain menjadi pengarah beberapa anak syarikat 1MDB, tidak mempunyai pertuduhan jenayah.

Hariharan: Adakah anda bersetuju dengan saya bahawa tidak mungkin Geh bertindak sendirian tanpa tandatangan ada bersama?

Azmi: Ada banyak transaksi, syarikat itu agak besar, kita ada banyak projek. Kadang-kadang ia ditandatangani dengan saya, kadang-kadang dengan orang lain.

Azmi juga hari ini berkata beliau tidak tahu mengapa beliau tidak didakwa.

Hariharan kemudian berkata Azmi akan “bertanggungjawab akhirnya” sebagai ketua, tetapi saksi berkata beliau tidak membuat keputusan sendiri dan hanya mengikut arahan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho.

Semasa soal balas, Hariharan juga telah bertanya kepada Azmi sama ada beliau ada “rasa siapa yang menjadi sasaran” siasatan 1MDB.

Hariharan: Sekarang, adakah anda diberitahu oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (selepas pilihan raya umum 2018), apabila mereka merekodkan kenyataan anda, yang siasatan adalah ke atas Najib?

Azmi: Tidak, mereka hanya mahu merekodkan kenyataan saya mengenai 1MDB. Tidak disebutkan siapa yang akan didakwa, cuma apa yang berlaku di sana sini.

Najib menghadapi 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB, yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Ahli Parlimen Pekan berusia 68 tahun itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika didapati bersalah.

Perbicaraan diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah. – 5 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen