PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) membidas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana memuat naik iklan video di platform media sosialnya yang menunjukkan bagaimana rasuah berlaku di klinik.
Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata video kesedaran SPRM memberi contoh bagaimana rasuah boleh berlaku di klinik untuk mendapatkan sijil perubatan adalah satu penghinaan terhadap kesucian dan imej bidang perubatan.
“Agensi kerajaan sepatutnya menggunakan contoh lain untuk menyampaikan mesejnya. Sebagai doktor, kami berasa amat tersinggung dengan posting itu yang sepatutnya diturunkan serta-merta,” kata Dr Koh dalam satu kenyataan hari ini.
Video berkenaan disiarkan di laman Facebook SPRM dan juga di Twitter.
Setakat ini video berkenaan mendapat lebih 6,000 tontonan di Facebook dan lebih daripada 750,000 tontonan di Twitter.
Koh berkata doktor di negara ini telah melalui banyak pengorbanan terutama bekerja tanpa jemu dalam memerangi pandemik Covid-19 dan banjir baru-baru ini, dan mendakwa video sedemikian memperkecilkan mereka.
“Adakah mereka lupa pengorbanan kami untuk negara dalam memerangi musuh ketat kita iaitu virus SARS-CoV-2 yang meragut 31,591 nyawa?
“Baru-baru ini, ramai doktor kita juga mengharungi banjir hingga ke paras pinggang untuk menghantar bantuan kepada mangsa walaupun klinik mereka musnah akibat banjir.
“Ini hanyalah sebahagian daripada contoh semangat dan komitmen kami yang tidak putus-putus ke arah memberikan penjagaan kesihatan kepada rakyat,” katanya.
Koh memberitahu SPRM untuk “membersihkan halaman rumah mereka sendiri” terlebih dahulu sebelum memilih orang lain. Beliau juga menuntut agensi anti rasuah itu membuat permohonan maaf secara terbuka.
“MMA menuntut SPRM mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka untuk video yang kami rasa dibuat dengan cara yang tidak baik dan semasa mereka melakukannya.
“Daripada rentetan komen yang panjang oleh netizen sebagai respons kepada video itu, nampaknya SPRM mempunyai isu mengenai reputasinya sendiri untuk ditangani,” katanya.
Semalam, pegawai kanan SPRM Shahrum Nizam Bahanuddin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyeleweng barangan bernilai RM29 juta yang dirampas agensi itu.
Sementara itu, minggu lalu, Edmund Terence Gomez, anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM meletak jawatan selepas panel itu dan juga lembaga penasihat gagal mengambil tindakan terhadap ketua pesuruhjayanya Azam Baki berhubung dakwaan pemilikan dua juta saham. – 5 Januari, 2022.
Komen