Pertikaian dengan Amanah akan selesai tak lama lagi, kata Azmin


Asila Jalil

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada sambutan Pesta Ponggal do Batu 14, Puchong hari ini. Azmin berkata beliau yakin pertikaian dalam PH di Selangor akan selesai tidak lama lagi.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 3 Februari, 2018. 

PERTIKAIAN antara PKR Selangor dan Amanah Selangor akan diselesaikan tidak lama lagi, kata Menteri Besar Mohamed Azmin Ali. 

Azmin berkata isu itu tidak lagi berbangkit dan beliau yakin ia akan tamat. 

“Pada saya isu ini tidak berbangkit lagi kerana saya yakin perkara ini boleh diselesaikan tidak lama lagi dalam semangat kekeluargaan,” katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Ponggal di Puchong hari ini.

Ketegangan memuncak dalam kalangan parti Pakatan Harapan di Selangor kerana tuduhan berbohong berikutan pakatan itu masih belum bersetuju dengan rundingan kerusi ketika pilihan raya umum ke 14 semakin hampir.

Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim mempertahanan pengarah komunikasi Amanah negeri Jamzuri Ardani yang mengatakan rundingan kerusi negeri itu masih belum selesai kerana Azmin mengabaikan gesaan untuk menubuhkan jawatankuasa khas. 

Minggu lalu dilaporkan rundingan kerusi untuk PH Selangor dalam kekeliruan kerana hanya PKR satu-satunya parti komponen yang bertegas bahawa rundingan rasmi sudah dibuat sedangkan sekutunya mengatakan jawatankuasa khas masih belum ditubuhkan. 

Azmin juga secara terbuka menuduh Amanah berbohong mengenai rundingan kerusi selepas parti itu mendakwa perbincangan masih belum dibuat. 

Katanya rundingan sudah diadakan empat kali dan jawatankuasa pilihan raya PH sudah ditukarkan kepada jawankuasa rundingan kerusi. 

Izham mendakwa Azmin yang berbohong, dan empat kali pertemuan diadakan bagi membincangkan hak berkaitan pilihan raya namun tidak menyentuh mengani pengagihan kerusi. 

“Beliau yang berbohong. Mustahil untuk tiga lagi parti berbohong dan hanya Azmin yang membuat kenyataan berbeza. Ia umpama membawa perangai Umno dalam PH.”

Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad hari ini meluahkan keyakinannya bahawa pertikaian antara Amanah dan PKR berhubung rundingan kerusi di Selangor akan selesai tidak lama lagi, lapor Malaysiakini.

“Kita boleh selesaikannya, Mereka datang jumpa saya dan jelaskan apa yang berlaku. 

“Mereka buat perjanjian untuk selesaikan masalah ini namun ia memerlukan sedikit masa,” katanya di Putrajaya hari ini. – 3 Februari, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen