Najib, Zahid cuba raih populariti dengan gesa pengeluaran KWSP, kata ahli Parlimen 


Ragananthini Vethasalam

BEKAS perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi cuba meraih populariti dengan menekan kerajaan untuk membenarkan lebih banyak pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming.

Beliau berkata tindakan lampau Najib membabitkan KWSP ketika menjadi perdana menteri hanya menunjukkan beliau mempunyai kepentingan diri sendiri, dan bukannya kebajikan rakyat.

“Najib menunjukkan bahawa beliau hanya mempunyai kepentingan diri sendiri dan kroninya dan bukan kepentingan KWSP dan ahlinya apabila meluluskan pembelian Eagle High Point (EHP) oleh FGV (Felda Global Ventures) pada 2015 / 2016 dengan nilai melambung teruk,” kata Ong, merujuk kepada perjanjian RM2.3 bilion yang dibuat pada 2015.

KWSP yang mempunyai kepentingan dalam FGV, telah menyatakan kebimbangan mengenai pembelian syarikat perladangan Indonesia yang dimiliki oleh Peter Sondakh, yang didakwa sebagai “kawan rapat” Najib.

Kini Najib dan Zahid menggesa lebih banyak pengeluaran KWSP sedangkan 3.6 juta pemegang akaun mempunyai kurang daripada RM1,000 dalam akaun mereka, yang akan menjejaskan simpanan persaraan mereka.

“Daripada jumlah ini, 2 juta adalah ahli Bumiputera (55%), yang menunjukkan beliau (Najib) tidak memikirkan kepentingan jangka panjang pencarum KWSP, termasuk masyarakat Bumiputera,” tambah Ong.

“Kedua-dua Najib dan Zahid lebih mementingkan untuk menyelamatkan diri daripada dipenjara akibat daripada tuduhan rasuah terhadap mereka daripada membantu rakyat yang menderita.

“Saya tidak akan terkejut jika mereka menggunakan lebih banyak langkah populis untuk memperbodohkan rakyat dengan berfikir bahawa mereka cuba menyelamatkan rakyat tetapi pada hakikatnya, ini semua hanya untuk menyelamatkan diri mereka sendiri.”

Najib baru-baru ini menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran di bawah skim i-Citra buat kali terakhir, susulan pengeluaran sebelum ini di bawah pelbagai inisiatif untuk membantu orang ramai yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Ong berkata Zahid juga menggunakan taktik serupa dengan Najib dengan membuat gesaan yang saja. Menurutnya rakyat tidak boleh terpedaya dengan aksi populis mereka.

Beliau juga berharap ada suara dalam kepimpinan Umno mencabar gesaan mereka untuk membenarkan orang ramai mengeluarkan simpanan KWSP yang akan mempunyai implikasi peribadi jangka panjang yang serius, terutama bagi pencarum dalam komuniti B40.

KWSP menyatakan kebimbangan mengenai pengeluaran dan hakikat bahawa ramai pemegang akaun tidak akan mempunyai simpanan persaraan yang cukup.

Ia menjawab gesaan agar lebih banyak pengeluaran dibenarkan untuk menampung kerugian kewangan akibat banjir baru-baru ini dengan menyatakan bahawa Akta KWSP 1991 tidak memperuntukkan pengeluaran untuk bencana alam.

Menurutnya undang-undang menetapkan bahawa Akaun 1 (70% daripada simpanan) ditetapkan untuk persaraan, manakala Akaun 2 (30%) adalah untuk pengeluaran mengikut budi bicara yang bertujuan untuk menjamin masa depan pemegang akaun.

Pengeluaran i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dalam tempoh dua tahun lepas adalah pengecualian katanya, yang dibenarkan untuk memenuhi keperluan aliran tunai segera semasa sekatan pergerakan dan kelembapan ekonomi yang disebabkan oleh Covid. – 5 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen