Pengusaha restoran bimbang tempahan sambutan Tahun Baharu Cina kurang


Angie Tan

Kebanyakan restoran terima 20% daripada slot tempahan disediakan untuk makan besar Tahun Baharu Cina. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Januari, 2022.

TEMPAHAN untuk makan malam Tahun Baharu Cina berkurangan walaupun sektor ekonomi dibuka semula di bawah prosedur operasi standard Covid-19, kata pengusaha restoran Cina.

Hanya segelintir majikan, yang biasanya menganjurkan majlis makan malam tahun baru untuk kakitangan mereka membuat tempahan kurang daripada sebulan sebelum Tahun Baharu Cina yang jatuh pada 1 dan 2 Februari tahun ini.

Kebiasaanya tempahan hampir penuh sebulan sebelum perayaan, kata pengerusi persatuan restoran.

Kini, dengan Tahun Baharu Cina kurang daripada empat minggu lagi, paling banyak tempahan yang diterima restoran hanya 20% daripada slot. Mereka menerima banyak pertanyaan tetapi tiada tempahan dibuat.

Presiden Persatuan Restoran Selangor dan Wilayah Persekutuan Ku Su Shin Choon, Lum Tuck Loy berkata antara punca orang ramai tidak berminat untuk mengadakan jamuan makan malam di restoran adalah kerana peraturan penjarakan sosial, yang mana hanya enam orang dibenarkan untuk meja 10 orang.

“Ini telah menyukarkan majikan untuk mengatur makan malam. Ini juga bermakna selagi wabak itu ada, perniagaan restoran untuk jamuan besar akan terus menderita,” kata Lum kepada The Malaysian Insight.

Akibatnya, restoran telah memutuskan untuk tidak menyimpan bahan-bahan untuk mengelakkan kerugian, tambahnya.

Pengarah Xin Yang Seafood di Batu Pahat, Johor, Tan Boon Guan berkata restorannya hanya mengisi 20% daripada slot tempahan yang ada.

Penggantungan sementara perjalanan dengan bas dan penerbangan di bawah program Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Singapura dan Malaysia mungkin juga menjadi faktor untuk restoran di Johor, tambah Tan.

Walaupun penggantungan disebabkan kebimbangan varian Omicron Covid-19 dibuat sehingga 20 Januari, ketidaktentuan itu menjejaskan sentimen pelanggan dan seterusnya perniagaan restoran.

“Pelanggan mungkin akan membuat keputusan untuk makan malam Tahun Baharu Cina mereka pada saat-saat akhir.”

Tan berkata beliau masih akan memesan bahan-bahan sebagai persediaan untuk senario ini tetapi mengurangkan tempahannya sebanyak 80% berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Kami masih perlu menyediakan bahan mentah, jika tidak harga makanan laut seperti kerapu harimau dan udang mungkin naik mendadak. Jika kami tidak tempah lebih awal, kami mungkin terpaksa membayar harga yang tinggi, atau mengalami kekurangan bekalan.”

Harga jamuan naik

Dengan kos bahan mentah dan makanan laut meningkat sebanyak 25% hingga 30%, harga makan malam juga telah meningkat sebanyak 10%. Ini bermakna set menu makan malam untuk enam orang kini berkisar antara RM600 hingga RM1,688, kata Tan.

“Kami tidak boleh letakkan keseluruhan kenaikan harga bahan mentah kepada pelanggan, jadi kami hanya boleh menaikkan sedikit harga set makan malam. Selebihnya kita boleh serap, asalkan kita boleh berniaga.”

Presiden Persatuan Johor Kitchen Ang See Kiong juga tidak menerima banyak tempahan daripada syarikat untuk makan malam tahunan mereka.

“Ramai yang mengatakan mereka mahu menunggu lebih dekat dengan tarikh untuk membuat keputusan manakala yang lain mahu melihat menu dahulu.”

Makan malam itu diadakan pada malam Tahun Baharu Cina, iaitu pada 31 Januari tahun ini.

Ang berkata, restoran akan mengambil masa untuk pulih tetapi sekurang-kurangnya makan malam kini dibenarkan.

Apa yang lebih penting, katanya, pengusaha restoran dan pelanggan masing-masing perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam mematuhi SOP Covid-19 bagi mengelak penularan wabak.

“Kami tidak mahu satu lagi wabak besar yang boleh membawa kepada larangan makan di premis lagi.”

Ang berkata, restoran harus cuba mengekalkan harga mereka sama seperti sebelum ini sebanyak mungkin untuk menarik pelanggan.

“Kita boleh hidup dengan untung kecil, ia akan menarik lebih ramai orang untuk keluar makan. Lagipun, bukan kita sahaja yang menghadapi masalah kewangan; semua orang terjejas.” – 6 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen