FILIPINA akan memperluaskan sekatan koronavirus di Manila mulai hari ini melibatkan 11 juta penduduk yang tinggal berhampiran ibu negara susulan peningkatan kes Covid-19, kata kerajaan.
Jangkitan harian melonjak ke paras tertinggi dua bulan lalu pada Januari dan jabatan kesihatan memberi amaran jumlah kes yang lebih tinggi dalam beberapa hari akan datang berikutan pengesanan kes tempatan bagi varian Omicron yang mudah menular.
Wilayah Bulacan, Cavite dan Rizal di sekitar Manila diletakkan di bawah amaran ketiga tertinggi disebabkan peningkatan mendadak kes Covid-19, kata jurucakap presiden Karlo Nograles dalam satu kenyataan semalam.
Di bawah sekatan lebih ketat yang akan dilaksanakan sehingga pertengahan Januari, penduduk yang tidak divaksin perlu tinggal di rumah melainkan untuk membeli barangan keperluan atau bersenam.
Restoran, taman, gereja dan salon kecantikan akan beroperasi pada kapasiti yang lebih rendah manakala kelas bersemuka dan sukan membabitkan sentuhan fizikal digantung. Perintah itu dibuat sehari selepas Manila menguatkuasakan Amaran Tahap 3.
Kira-kira 70% penduduk di Metro Manila diberi suntikan vaksin sepenuhnya, menurut data kerajaan.
“Kami membuat anggaran awal. Andaian Omicron adalah lapan kali lebih mudah berjangkit berbanding Delta dan kemuncaknya akan berlaku pada akhir Januari.
“Ia akan lebih daripada jumlah yang kita lihat semasa kemuncak varian Delta,” kata setiausaha kesihatan Rosario Vergeire kepada CNN Filipina.
Jabatan kesihatan menganggap seluruh negara berisiko tinggi berikutan lonjakan kes dalam beberapa hari kebelakangan ini, kata Vergeire walaupun kemasukan ke hospital masih terkawal.
Sebelum peraturan kuarantin yang lebih ketat Filipina berada di bawah tahap berjaga-jaga kedua terendah sejak 3 Disember apabila kes menurun yang membolehkan restoran dan tempat tertutup meningkatkan kapasiti dan kelas secara bersemuka disambung semula secara terhad. Filipina merekodkan lebih 2.8 juta jangkitan dan lebih 51,000 kematian. – AFP, 5 Januari, 2022.
Komen