Putrajaya terburu-buru tangguh perjalanan umrah, kata Khalid Samad


Khalid Samad berkata penangguhan umrah menyebabkan agensi pelancongan sekali lagi rugi, ketika cuba bangkit semula selepas kelonggaran perjalanan dibenarkan sejak awal Oktober lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2022.

MALAYSIA terburu-buru menangguhkan kebenaran perjalanan untuk menunaikan umrah sedangkan ada usaha lain yang boleh dibuat untuk membendung penularan Covid-19, kata Khalid Samad.

Ahli Parlimen Shah Alam berkata penangguhan itu menyebabkan agensi pelancongan yang menguruskan pakej umrah sekali lagi rugi, ketika mereka sedang bangkit semula selepas kelonggaran perjalanan dibenarkan sejak awal Oktober lalu.

“Jelas bahawa langkah kerajaan Malaysia kelihatan terburu-buru, lebih-lebih lagi apabila kerajaan Arab Saudi masih lagi membenarkan umrah dan, lebih dari itu, sudah mula membuka visa ziarah bagi pelancong dari beberapa negara.

“Langkah kerajaan dibuat tanpa perbincangan yang menyeluruh dengan pengusaha pakej umrah,” katanya dalam satu kenyataan.

Khalid menyeru pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya menimbang semula penangguhan itu, yang berkuat kuasa mulai 8 Januari ini.

“Sila bertindak sebagai kerajaan yang berwibawa yang memikirkan kaedah dan pendekatan untuk menyelesaikan masalah dan bukan dengan mengambil jalan mudah tanpa mengambilkira kesannya terhadap yang terlibat,” katanya.

Jelas Khalid, beliau menyuarakan hal ini selepas didatangi oleh wakil pengusaha pakej umrah yang mengadu kerugian jutaan ringgit akibat keputusan kerajaan itu.

Sabtu lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan keputusan kerajaan untuk menangguh sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari selepas peningkatan tinggi kes Covid-19 melibatkan varian Omicron dalam kalangan jemaah.

Keputusan dibuat hasil perbincangan khas Kementerian Kesihatan bersama beberapa agensi dan badan yang terlibat dengan pengurusan umrah dan seterusnya disahkan dalam mesyuarat khas kuartet menteri mengenai Covid-19.

Khairy menjelaskan penangguhan itu terpaksa dibuat kerana data Kementerian Kesihatan menunjukkan hampir lapan daripada setiap 10 jangkaan kes Omicron baharu melibatkan jemaah umrah. 

Khalid bagaimanapun berpendapat kerajaan boleh mengenakan prosedur operasi standard yang lebih ketat untuk jemaah umrah sebelum pulang atau semasa ketibaan pulang ke Malaysia.

Ini termasuk kawalan pergerakan yang ketat termasuk mengasingkan jemaah umrah daripada penumpang lain sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Khalid juga mencadangkan pusat kuarantin khas untuk jemaah umrah, selain kerajaan memanfaat hotel yang rugi besar akibat pandemik sebagai pusat kuarantin.

“Saya setuju, kerajaan perlu berbuat sesuatu apabila kenaikan mendadak penyebaran virus Covid-19 khasnya Omicron berlaku.

“Namun menghentikan secara mengejut, dengan memberikan notis tempoh seminggu sahaja kebenaran menunaikan umrah ini adalah satu yang tidak kena, sedangkan masih ada pilihan-pilihan lain yang boleh diusahakan,” katanya.

Awal hari ini, perdana menteri berkata mesyuarat Kabinet esok akan mendengar laporan terperinci daripada Khairy mengenai penangguhan umrah. – 4 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen