Pengurusan kes rayuan Azmin batal saman pengundi Gombak pada 10 Januari


Pada 2020, 10 pengundi Gombak failkan saman terhadap Mohamed Azmin Ali atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari menerusi 'Langkah Sheraton'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Januari, 2022.

RAYUAN Mohamed Azmin Ali untuk membatalkan saman yang dikemukakan 10 pengundi berdaftar kawasan Parlimen Gombak terhadapnya atas dakwaan menipu dan melanggar kewajiban fidusiari sebagai ahli Parlimen kawasan itu, ditetapkan untuk pengurusan kes pada Isnin ini.

Perkara ini disahkan peguam Nizamuddin Hamid yang mewakili Azmin dan peguam N.Yohendra yang mewakili pengundi itu, semasa dihubungi Bernama selepas kes tersebut didengar secara dalam talian di hadapan tiga Hakim Mahkamah Rayuan Yaacob Md Sam, S. Nantha Balan dan Nordin Hassan.

Pengurusan kes yang ditetapkan pada 10 Januari adalah untuk menetapkan tarikh mendengar rayuan, menurut kedua-dua peguam itu.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah membenarkan permohonan Azmin untuk menyelaraskan rekod rayuan kerana kesilapan tidak disengajakan berhubung kebolehgunaan Arahan Ketua Hakim Negara.

Ini selepas peguam Daniel Choo Vern Kai yang mewakili pengundi tidak membantah permohonan itu. Peguam Nurul Najwa Zainuddin mewakili Azmin.

Pada 10 Jun tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Azmin untuk membatalkan saman yang difailkan 10 pengundi itu terhadapnya.

Pada hari yang sama, Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir  juga menolak menolak permohonan pengundi berkenaan untuk memadamkan sebahagian pernyataan pembelaan Azmin. 

Pada 27 November 2020, 10 pengundi itu memfailkan saman terhadap Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari menerusi “Langkah Sheraton” yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari 2020. 

Dalam pernyataan tuntutan mereka, pengundi tersebut antara lain memohon pengisytiharan bahawa Azmin selaku ahli Parlimen Gombak, telah melanggar kewajiban fidusiarinya, menipu serta memungkiri representasi yang dibuat kepada mereka dalam pilihan raya umum bagi kawasan berkenaan.

Mereka menuntut ganti rugi keterlaluan dan teladan, kos dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 12 Mac tahun lepas, Azmin memfailkan permohonan membatalkan saman itu atas alasan saman tersebut tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah sebaliknya mengaibkan, bersifat remeh, menyusahkan atau membawa kepada suatu penyalahgunaan proses mahkamah. – Bernama, 4 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen