LEBIH satu juta penduduk di sebuah bandar di tengah China telah dikenakan perintah berkurung selepas tiga kes koronavirus tanpa gejala direkodkan.
Beijing menjalankan pendekatan “sifar Covid” dengan sekatan sempadan yang ketat dan penutupan yang disasarkan sejak virus itu mula-mula muncul.
Tetapi strategi itu mendapat tekanan dengan beberapa siri penularan tempatan baru-baru ini dan hanya tinggal sebulan lagi sehingga Sukan Olimpik Musim Sejuk.
Yuzhou, sebuah bandar yang mempunyai penduduk sekitar 1.17 juta orang di wilayah Henan, mengumumkan mulai malam tadi semua rakyat dikehendaki tinggal di rumah untuk mengawal penularan virus itu.
Pengumuman itu dicetuskan oleh penemuan tiga kes sejak beberapa hari lalu.
Orang ramai di kawasan tengah tidak dibenarkan keluar, menurut satu kenyataan yang disiarkan semalam manakala semua komuniti akan menubuhkan laluan khas untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan kawalan wabak dengan tegas.
Bandar itu telah mengumumkan bahawa ia menghentikan perkhidmatan bas dan teksi serta menutup pusat membeli-belah, muzium dan kawasan tarikan pelancong.
China melaporkan 175 lagi kes baharu Covid-19 hari ini, termasuk lima kes di wilayah Henan dan lapan lagi dalam kelompok berasingan yang dikaitkan dengan kilang pakaian di bandar timur Ningbo.
Walaupun kes yang dilaporkan adalah rendah berbanding dengan tempat lain di dunia, jangkitan baharu koronavirus dalam beberapa minggu kebelakangan ini mencapai tahap tertinggi di negara ini sejak Mac 2020.
Terdapat 95 kes baharu direkodkan di Xi’an hari ini - sebuah bandar bersejarah dengan 13 juta penduduk di wilayah jiran Shaanxi - yang dikenakan perintah berkurung selama hampir dua minggu.
Xi’an telah melaporkan lebih daripada 1,600 kes sejak 9 Disember, walaupun jumlah dalam beberapa hari kebelakangan ini mula merosot berbanding angka minggu lalu.
Pihak berkuasa tempatan yang dianggap gagal dalam mencegah wabak itu di China sering dipecat atau dihukum, menyebabkan beberapa siri tindak balas yang lebih ketat daripada kerajaan wilayah ketika mereka cuba menghapuskan sebarang kes dengan cepat.
Di Xi’an, dua pegawai kanan Parti Komunis di bandar utara telah disingkirkan daripada jawatan mereka kerana tidak cukup tegas dalam mencegah dan mengawal wabak.
Bulan lalu, badan disiplin China mengumumkan bahawa berpuluh-puluh pegawai telah dihukum kerana gagal mencegah wabak di bandar itu.
Lonjakan itu berlaku ketika Beijing bersedia untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk bulan depan. – AFP, 4 Januari 2022.
Komen