PARTI komponen bukan pelbagai kaum Pakatan Harapan, Bersatu, adalah berdasarkan etnik bagi menjaga kepentingan orang Melayu, kata pengerusi pakatan pembangkang Dr Mahathir Mohamad.
“Kami tubuhkan Bersatu kerana kami tahu pengundi Melayu akan rasa tidak selamat melainkan mereka diwakili oleh pemimpin Melayu dalam parti Melayu,” kata Dr Mahathir pada satu forum belia yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.
“Mereka perlu diberi jaminan bahawa hak mereka akan terjaga, dan sudah tentu tanpa kami melupakan keperluan kumpulan etnik lain,” kata bekas perdana menteri yang berusia 92 tahun itu.
Bersatu yang merupakan akronim bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, ditubuhkan pada September 2016 berikutan pemecatan bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir daripada Umno.
Dr Mahathir turut meninggalkan Barisan Nasional untuk menjadi pengerusi Bersatu, dengan Muhyiddin sebagai timbalannya.
Parti itu mendakwa sudah memiliki sekurang-kurangnya 200,000 ahli.
Terdahulu, Dr Mahathir berkata, politik identiti etnik masih wujud dalam politik Malaysia, walaupun pengundi muda mahukan sebaliknya.
“Terdapat perbezaan antara generasi lama dan generasi baru. Persepsi apa yang ideal juga berbeza dan dipengaruhi oleh latar belakang dan pengalaman mereka,” kata Dr Mahathir kepada hadirin yang terdiri daripada beberapa ratus penuntut universiti.
“Mungkin kita tidak mahu ambil kisah dengan kewujudan kaum, tetapi fakta kekal hari ini, seseorang dari satu kaum masih ada kesedaran bahawa dia adalah dari kaum tersebut dan itu yang membezakannya daripada yang lain.
“Ini tidak boleh dinafikan. Jadi walaupun kita mungkin mahu isu kaum dimansuhkan sama sekali, bagi generasi lama, perkara ini mustahil. Perasaan kaum itu tidak dapat dibuang,” katanya.
Dr Mahathir bagaimanapun menambah, PH akan lebih pragmatik dalam menjalankan dasarnya sekiranya memenangi Putrajaya, menggabungkan “idealisme muda dengan pengalaman generasi lama.”
Mengenai isu pemuda, Dr Mahathir meratapi peningkatan masalah juvana di kalangan pelajar universiti Melayu.
“Di universiti, mana pelajar Melayu? Mereka jadi Mat Rempit. Hanya yang perempuan sahaja berada di universiti, menjadikan hingga 60% ke 70% daripada jumlah pelajar. Budak-budak Melayu tiada rasa tanggungjawab.
Kataya, trend itu disebabkan oleh nilai yang gagal diterapkan dalam sistem pendidikan: “Tanggungjawab pendidikan tidak lagi kepada ibu bapa tetapi kepada sistem pendidikan.
“Sudah banyak kali saya minta Kementerian Pendidikan untuk peruntukkan lebih banyak masa untuk menerapkan nilai dalam kalangan kanak-kanak, tetapi mereka dengan pelajaran moral dan Islam. Malangnya, ia tidak berjaya,” katanya.
Sementara itu, sebarang rancangan untuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang mula diperkenalkan pada 2015, akan dibuat secara berperingkat sekiranya PH memenang Putrajaya.
Dr Mahathir mengkritik projek-projek mega “borongan” Perdana Menteri Najib Razak yang kata bekas perdana menteri itu ia menjunamkan negara ke dalam hutang.
“Kita tidak pernah perlukan GST. Kita tidak pernah bankrap dan kita tidak pernah berhutang sebelum ini. Kemudahan infrastruktur kita adalah antara yang terbaik di Asia Tenggara. Kita ada landasan kereta api, lebuh raya, pelabuhan, lapangan terbang..semua ini kita bina tanpa GST. Yang penting adalah menguruskan kewangan negara dengan bijak.
“Kita tidak sepatutnya buat lebih daripada kemampuan kita. Masalah dengan Najib adalah dia tidak peduli banyak mana dia belanja. Dia nak bina LRT dan MRT, dia buat saja, menanggung hutang yang besar.
“Jika kita nak kurangkan GST kepada kosong, kita perlu lakukan secara berperingkat agar kerugian tidak dirasai kerajaan dan rakyat akan lega,” tambahnya.
Dr Mahathir berkata cukai jualan sedia ada adalah sumber pendapatan kerajaan yang mencukupi, di mana pengguna hanya dikenakan cukai pada saat pembelian.
“Kerana dengan GST, tidak kira kamu buat pembelian atau tidak. Bayi minum susu pun kena GST.
“GST bukannya penting. Dahulu tiada GST dan kita masih baik berbanding hari ini. Hari ini dengan GST, kos sara hidup meningkat,” kata Dr Mahathir.
Ketika menjawab pertanyaan hadirin, Dr Mahathir berjanji Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), yang menghalang pelajar terlibat dengan politik akan dimansuhkan.
Beliau bagaimanapun memberi amaran mengenai kesannya.
“Jika kamu mahu, ya kita kana mansuhkannya, tetapi tolong ingat bahawa AUKU diwujudkan kerana kita menyaksikan pelajar Melayu tidak belajar. Saya Menteri Pendidikan (pada 1974), AUKU diwujudkan sebelum saya, kami dapati pelajar Melayu keluar berdemonstrasi, dan tidak bagi pelajar Cina dan India,” katanya.
Jadi kita perkenalkan AUKU untuk halang pelajar Melayu daripada menghabiskan banyak masa dengan politik. Tetai jika kamu tidak mahu tak mengapa. Ia tidak menyakitkan. Tetapi pelajar Melayu mesti belajar bahawa mereka diberi peluang belajar di universiti.
“Bila mereka ada duit mereka mahu demonstrasi setiap hari, itu hal mereka. Tetapi bila mereka belanjakan wang orang lain, buat perkara yang lain sedangkan mereka perlu belajar, ia buang masa dan tidak betul,” tambahnya. – 3 Februari, 2018.
Komen