MALAYSIA merekodkan 28 kematian baharu Covid-19 semalam, termasuk empat kes yang diklasifikasikan kematian luar hospital.
Menurut data Github Kementerian Kesihatan, kesemuanya adalah kes tertunggak.
Ini menjadikan jumlah kematian akibat virus itu kepada 31,560, yang mana 6,366 adalah kematian luar hospital.
Angka kematian harian ialah jumlah yang dilaporkan pada hari itu ditambah kes yang baru disahkan oleh pihak berkuasa kesihatan disebabkan Covid-19 selepas siasatan.
Pulau Pinang merekodkan kes kematian tertinggi iaitu enam, diikuti Selangor (5) dan Perak (4).
Negeri dan wilayah lain yang merekodkan kematian baharu ialah Kelantan (3), Johor (2), Pahang (2), Sabah (2), Terengganu (2), Kedah (1) dan Sarawak (1).
Tiada kes kematian baharu dilaporkan di Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Kadar kematian akibat virus menurun kepada 0.7% semalam daripada 0.8% sehari sebelumnya manakala purata 14 hari bagi kematian akibat jangkitan adalah lapan bagi setiap juta orang. – 4 Januari, 2022.

Komen