SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu benar-benar bebas daripada kawalan ahli politik, termasuk Perdana Menteri, kata Edmund Terence Gomez.
Gomez, bekas ahli panel pemantau SPRM, yang berhenti minggu lepas berhubung dakwaan penglibatan ketua pesuruhjaya agensi antirasuah Azam Baki, mendakwa ahli politik yang berkuasa mengambil kesempatan daripada keadaan itu, kerana agens berada di bawah bidang kuasa perdana menteri.
“Kita lihat, ada dakwaan serius di negara ini melibatkan ahli politik yang berkuasa.
“Ahli politik tidak boleh mengawasi SPRM, malah perdana menteri, dan badan eksekutif kerajaan.
“Ahli politik yang berkuasa tidak mahu melepaskan institusi ini bebas untuk menyiasat rasuah, yang sepatutnya bebas.
“Mengapa menyerahkan kuasa ke atas institusi ini sedangkan ia boleh mengawal siasatan,” kata Gomez kepada The Malaysian Insight dalam temu bual eksklusif.
Gomez minggu lalu meletak jawatan sebagai seorang ahli daripada lima panel pemantau SPRM: Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.
Peletakan jawatannya adalah protes terhadap Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM Abu Zahar Ujang dan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Borhan Dolah yang tidak mengambil tindakan terhadap dakwaan Azam memiliki saham korporat dalam sebuah syarikat pada 2015 dan 2016, dan tidak mengisytiharkannya.
Gomez mendakwa kedua-dua pengerusi pemantau SPRM itu melindungi Azam.
Merujuk kepada skandal kewangan terbesar Malaysia, 1Malaysia Development Berhad, lebih dikenali sebagai 1MDB, Gomez berkata kejadian itu sudah cukup untuk menunjukkan SPRM tidak sepatutnya diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan atau perdana menteri.
Beliau berkata individu tertinggi dalam agensi antirasuah dan ahli panel dan lembaga penasihat dilantik oleh perdana menteri, yang disifatkan sebagai “bermasalah”.
“Siapa yang melantik ketua pesuruhjaya? Siapa yang melantik ahli panel penasihat?
“Adakah terdapat siasatan terhadap ketua pesuruhjaya sebelum beliau dilantik atau adakah terdapat siasatan awam terhadap panel penasihat sebelum mereka diberi pelantikan?
Kerana mereka mesti benar-benar bebas dan mesti dibenarkan melakukan tugas mereka tanpa rasa takut.
“Mereka bertanggungjawab menyiasat rasuah walaupun dalam kalangan pegawai tertinggi kerajaan dan ahli politik yang berkuasa.
“Lagipun, dakwaan 1MDB baru-baru ini dan terbaharu melibatkan seorang perdana menteri (ketika itu).
“Apa yang ditunjukkan itu? Perdana menteri yang semasa juga mempunyai pemantauan terhadap SPRM. Pasti ada masalah di sini yang perlu kita teliti,” katanya.
Gomez mencadangkan agensi antirasuah itu sepatutnya diletakkan di bawah Parlimen dan bukannya Jabatan Perdana Menteri.
Profesor ekonomi politik di Universiti Malaya itu berkata, perbincangan untuk menjadikan SPRM sebagai badan bebas sudah berjalan sejak sekian lama, tetapi masih tidak menjadi kenyataan.
Beliau mendakwa tiada kemahuan politik untuk membawa perubahan itu.
“Bukan cabang eksekutif kerajaan yang sepatutnya mengawasi. Ia sepatutnya Parlimen.
“Saya ingin katakan, marilah kita mengadakan perbahasan awam mengenai cadangan ini. Mari kita adakan jawatankuasa bebas untuk meneliti perkara ini dan lihat selepas perbahasan awam, selepas memikirkan reformasi institusi.
“(Juga) perkara ini perlu dibahaskan di Parlimen,” katanya. – 3 Januari, 2022.
Komen