786 kemasukan ke hospital akibat Covid-19, kata KKM


Ravin Palanisamy

Sebanyak 786 kemasukan ke hospital akibat Covid-19 dilaporkan semalam yang menunjukkan angka penurunan untuk hari ketiga berturut-turut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2022.

KEMASUKAN ke hospital akibat Covid-19 menurun untuk hari ketiga berturut-turut apabila Malaysia melaporkan 786 kemasukan semalam, kata Kementerian Kesihatan.

Malaysia kini melaporkan kurang daripada 1,000 kemasukan harian selama 23 hari berturut-turut.

Laman web CovidNow menunjukkan kadar penggunaan katil keseluruhan meningkat kepada 62.1% semalam berbanding 62% sehari sebelumnya.

Bagaimanapun kadar pengambilan katil untuk pesakit koronavirus menurun daripada 28% sehari sebelumnya kepada 27.6% semalam.

Kadar kemasukan ke hospital menunjukkan tahap keterukan virus. Penggunaan hospital termasuk penghuniaan katil serta bilangan pesakit di unit rawatan rapi (ICU) dan ventilator.

Wilayah Lembah Klang terus melaporkan jumlah kemasukan ke hospital akibat koronavirus paling banyak dengan 260 kemasukan.

Selangor mencatatkan 231 daripada kes tersebut diikuti oleh Kuala Lumpur (16) dan Putrajaya (13). 

Penggunaan katil di Lembah Klang termasuk untuk kes bukan Covid-19 menurun kepada 55.2% berbanding 57.8% sehari sebelumnya.

Negeri lain melaporkan kemasukan baharu ialah Johor (139), Sabah (85), Kelantan (57), Sarawak (51), Perak (41), Pahang (31), Negeri Sembilan (30), Pulau Pinang (25), Terengganu (24), Kedah (19), Perlis (14) dan Malacca (10). 

Tiada kemasukan berkaitan koronavirus di Labuan.

Walaupun Melaka mencatatkan kemasukan Covid-19 paling sedikit selepas Labuan dengan penggunaan katil keseluruhan di negeri ini adalah yang tertinggi iaitu 78.5%.

Sementara itu Malaysia melaporkan 2,882 kes baharu koronavirus semalam.

Lembah Klang yang terdiri daripada Selangor (734), Kuala Lumpur (135) dan Putrajaya (19) menyumbang 888 atau 31% daripada jangkitan baharu semalam.

Negeri dan wilayah lain yang melaporkan kes baharu ialah Johor (407), Kelantan (275), Kedah (225), Pahang (203), Pulau Pinang (166), Sabah (165), Perak (149), Melaka (148), Terengganu (122), Negeri Sembilan (89), Sarawak (17), Labuan (15) dan Perlis (13).

Penggunaan ventilator adalah pada 36.4% manakala wad ICU 54,7% dihuni, di mana 27.1% adalah disebabkan oleh koronavirus.

Bilangan kes aktif menurun kepada 40,606.

Daripada jumlah itu 33,393 pesakit dikuarantin di rumah, 3,460 di pusat kuarantin rendah dan 3,469 di hospital.

Terdapat 284 pesakit di ICU, 156 daripadanya menggunakan ventilator. – 3 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen