THAILAND menetapkan semula peraturan kerja dari rumah bagi semua agensi kerajaan dan syarikat swasta sekurang-kurangnya untuk tempoh 14 hari ketika jangkitan Covid-19 varian Omicron melonjak lebih 1,500 kes setakat 1 Januari, lapor Bangkok Post.
Kementerian Kesihatan Awam juga akan meneliti keadaan sebelum membentangkan sebarang langkah tambahan untuk membendung penularan wabak Jumaat ini, kata setiausaha tetap kesihatan awam Dr Kiattiphum Wongrajit.
“Ringkasnya, varian Omicron sedang merebak, tetapi ia belum mengakibatkan sebarang simptom yang teruk dan keadaan masih terkawal,” katanya seperti dipetik Bangkok Post.
Dalam tempoh 24 jam setakat semalam Thailand melaporkan 3,112 jangkitan baharu Covid-19 dengan 12 lagi kematian.
Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha juga mengarahkan pihak berkuasa memantau dengan rapi perkembangan varian baharu itu, selepas sebuah wilayah merekodkan 244 kes semalam.
Antara 1 November hingga 1 Januari, Thailand mengesan 1,551 kes Covid-19 dari varian Omicron di 47 wilayah. Daripada jumlah itu, 779 kes dikesan melibatkan mereka yang tiba dari luar negara dan bakinya jangkitan tempatan.
Sementara tu, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengangkutan Thailand pula bekerjasama menyediakan kit ujian pantas antigen Covid-19 secara percuma di terminal bas dan stesen keretapi bagi penumpang yang tiba di Bangkok.
Gabenor Bangkok Asawin Kwanmuang juga mengarahkan semua pusat hiburan termasuk rumah turut ditutup sehingga 15 Januari selepas dibenarkan beroperasi sehingga 31 Disember. – 3 Januari, 2022.
Komen