KKM lapor 19 kematian baharu Covid-19


Ravin Palanisamy

Sebanyak 19 kematian baharu Covid-19 dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia semalam di mana kesemuanya adalah kes tertunggak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2022.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 19 kematian berkaitan Covid-19 semalam termasuk empat diklasifikasikan sebagai kes kematian di luar hospital.

Menurut data mentah GitHub KKM menunjukkan semua kematian yang direkodkan adalah kes tertunggak.

Kematian terkini menjadikan jumlah kematian keseluruhan sebanyak 31,532 kes di mana 6,362 adalah kes kematian di luar hospital.

Angka kematian harian ialah jumlah kematian yang dilaporkan pada hari kejadian ditambah kes yang baru disahkan oleh KKM disebabkan oleh Covid-19.

Selangor melaporkan kematian paling banyak dikaitkan dengan virus berkenaan iaitu sebanyak lima kes diikuti oleh Terengganu (4) dan Johor (3).

Negeri dan wilayah lain yang melaporkan kematian baharu ialah Sabah (dua), Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur (masing-masing satu).

Pahang, Perak, Perlis, Penang, Sarawak, Labuan dan Putrajaya tidak melaporkan sebarang kematian yang dikaitkan dengan Covid-19.

Sementara itu daripada empat kes kematian di luar hospital, Melaka, Sabah, Selangor dan Terengganu masing-masing melaporkan satu kes.

Kadar kematian akibat virus itu menurun kepada 0.8% sehari sebelumnya manakala purata 14 hari untuk kematian akibat jangkitan ialah 9 bagi setiap sejuta orang. – 3 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen