Angka jangkitan baharu Covid-19 kekal stabil, kata pakar


Ragananthini Vethasalam

Pakar kesihatan memberi amaran untuk berhati-hati dengan kemungkinan gelombang jangkitan disebabkan oleh varian Omicron. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2022.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) dijangka akan melaporkan 3,000-5,000 jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh sehari untuk masa akan datang, kata pakar kesihatan.

Mereka juga memberi amaran untuk berhati-hati dengan kemungkinan gelombang jangkitan yang disebabkan oleh varian Omicron.

Mereka menambah adalah penting untuk mengekalkan pematuhan berterusan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) dan pengambilan dos suntikan penggalak.

Pakar epidemiologi perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Malina Osman berkata situasi dalam mengendalikan kes Covid-19 kini jauh lebih baik kerana kes aktif berada dalam aliran menurun.

“Bagaimanapun dengan kemunculan varian Omicron, dijangkakan kes itu akan meningkat lagi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata Malaysia belum lagi berada dalam fasa endemik berikutan ancaman baharu daripada Omicron.

“Kita perlu menunggu dua hingga empat minggu dari sekarang kerana kita tidak pasti kesan Omicron terhadap negara. Semoga keadaan akan terkawal dan potensi gelombang baharu dapat dielakkan.

“Untuk mengelakkan potensi gelombang baharu kita perlu meneruskan SOP dan mengambil dos penggalak seperti yang dinasihatkan,” katanya.

Bekas pengarah kesihatan Pahang Dr Zainal Ariffin Omar berkata tiada “angka selamat” apabila melibatkan kiraan kes baharu yang ideal.

“Tetapi kita harus menerima jumlah itu akan turun naik antara 3,000-5,000 untuk beberapa lama.

“Selagi tiada pertambahan kluster besar dan kematian, keadaan semasa boleh diuruskan.

“Istilah endemik atau pandemik tidak begitu penting sekarang. Pelan tindakan dan petunjuk pemantauan atau pengawasan adalah penting,” katanya sambil menambah Covid-19 akan kekal untuk tahun akan datang.

Beliau juga berkata langkah munasabah yang tidak terlalu ketat mesti dilaksanakan.

Beliau menambah analisis risiko yang disasarkan mesti dijalankan dengan bantuan data besar kerana negara mempunyai pengalaman dalam menguruskan wabak itu.

Dr Zainal juga menggesa agar pematuhan berterusan terhadap SOP dan orang ramai diberi suntikan dos penggalak.

Kes harian berada dalam lingkungan 3,000-6,000 sejak sebulan lalu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada mulanya menjangkakan negara akan memasuki fasa endemik pada Oktober.

Bagaimanapun pada November beliau berkata masih ada masa yang lama sebelum negara beralih ke fasa itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini turut memberi amaran tsunami kes boleh berlaku disebabkan penyebaran Omicron yang cepat menular dan varian Delta yang membawa maut. – 3 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen