Data peribadi dalam MySJ Trace tidak dikongsi tanpa kebenaran, kata ketua data CPRC


Ragananthini Vethasalam

Ketua Data di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Dr Mahesh Appanan berkata MySejahtera Trace tidak akan memuat naik data peribadi kerana ia memerlukan persetujuan pengguna. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2022.

DATA peribadi tidak akan didedahkan setiap kali MySejathera Trace (MySJ Trace) menghidupkan fungsi itu kerana ia memerlukan persetujuan, kata ketua data di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Mahesh Appanan.

“Jika Covid+, anda akan diminta untuk muat naik sejarah 14 hari supaya notifikasi dihantar kepada orang yang dikira kontak rapat. Ini memerlukan ‘persetujuan yang jelas’,” katanya melalui ciapan di Twitter.

Mahesh berkata, data interaksi tidak akan dimuat naik jika pesakit Covid-19 tidak membenarkan data itu dikongsi.

Beliau juga menjelaskan tentang interaksi yang dimaksudkan ketika MySJ Trace mengambil interaksi walaupun pengguna mungkin tidak pernah berhubung dengan sesiapa.

“Ini disebabkan signal bluetooth boleh dikesan hingga 10 meter. Mungkin telefon anda sedang mengesan jiran (termasuk di tingkat atas/ bawah/ unit sebelah di pangsapuri). 

“Namun, ini tidak bermaksud anda terus menjadi ‘kontak kasual’,” katanya.

Ciri yang memanfaatkan teknologi Bluetooth itu telah ditambah untuk membantu KKM dengan program Cari, Uji, Jejak, Pengasingan, Sokongan (FTTIS). – 2 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen