PERANCIS mengumumkan kelonggaran sekatan Covid-19 mulai Isnin ini ketika menteri kesihatan Britan berkata sekatan adalah “pilihan terakhir” apabila kerajaan berdepan pilihan sukar antara mengawal virus dan memastikan ekonomi dibuka.
Kes koronavirus melonjak secara global dalam beberapa minggu kebelakangan ini didorong oleh kemunculan varian Omicron yang sangat mudah menular.
Eropah melepasi 100 juta kes semalam dan kerajaan berusaha menghalang sistem penjagaan kesihatan lumpuh akibat Covid-19 di samping mengelak mengenakan sekatan.
Mereka yang divaksin sepenuhnya di Perancis yang didapati positif Covid-19 hanya perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari dan boleh menamatkan kuarantin selepas lima hari jika mereka menunjukkan keputusan ujian negative.
“Perubahan dalam peraturan sepatutnya membenarkan keseimbangan risiko-manfaat yang bertujuan memastikan virus itu dikawal sambil mengekalkan kehidupan sosio-ekonomi,” kata kementerian kesihatan Perancis.
Menurut pengiraan angka rasmi AFP, 17 daripada 52 negara atau wilayah di Eropah mengatasi rekod sebelumnya bagi kebanyakan kes dalam seminggu.
Negara yang mempunyai nisbah jangkitan tertinggi bagi setiap 100,000 penduduk di dunia semuanya berada di Eropah juga dengan Denmark menunjukkan angka terburuk iaitu 2,045.
Bagaimanapun beberapa kajian mencetuskan harapan bahawa Omicron tidak menyebabkan Covid-19 seteruk varian Delta dengan beberapa kerajaan mengambil kira ia dalam keputusan mereka untuk melonggarkan sekatan.
Tetapi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran dengan mengatakan Omicron boleh membawa kepada “tsunami kes” kerana kebolehjangkitannya yang tinggi. – AFP, 2 Januari, 2022.
Komen