PERANCIS akan melonggarkan peraturan kuarantin Covid-19 bermula esok dalam usaha mengurangkan kesannya terhadap masyarakat dan ekonomi.
Mereka yang sudah divaksin sepenuhnya dan didapati positif hanya perlu dikuarantin selama tujuh hari tanpa mengira varian koronavirus yang dijangkiti mereka.
Selain itu mereka boleh menamatkan kuarantin selepas lima hari jika ujian PCR atau antigen mereka menunjukkan keputusan negatif.
Tiada kuarantin untuk individu yang disuntik sepenuhnya yang mempunyai ujian kontak rapat positif.
Bagaimanapun orang ramai perlu menghormati langkah perlindungan dan “menjalani ujian seperti biasa”, kata menteri kesihatan Olivier Veran dalam temubual dengan Le Journal du Dimanche.
Sehingga kini mereka yang diuji positif di Perancis terpaksa dikuarantin selama 10 hari dengan kontrak rapat mereka juga perlu dikuarantin selama seminggu.
Tempoh maksimum pengasingan boleh sehingga 17 hari tanpa mengira varian jika isi rumah mempunyai kes positif.
Perubahan dalam peraturan dibuat atas keperluan “untuk mengambil kira evolusi yang sangat pesat penyebaran varian Omicron di Perancis”.
Ia sepatutnya membenarkan “keseimbangan risiko-manfaat yang bertujuan memastikan virus itu dikawal sambil mengekalkan kehidupan sosio-ekonomi,” kata Kementerian Kesihatan.
Selain itu “data virologi pertama yang tersedia” menunjukkan “tempoh inkubasi Omicron nampaknya lebih cepat daripada varian sebelumnya, memihak kepada kemungkinan pengurangan dalam tempoh pengasingan”.
Sementara itu mereka yang diuji positif virus itu tetapi tidak menerima vaksin sepenuhnya perlu melengkapkan kuarantin 10 hari mengikut peraturan yang sama tetapi dipendekkan kepada tujuh hari jika ujian PCR menunjukkan keputusan negatif.
Kuarantin tujuh hari kekal untuk kontak rapat yang tidak divaksin yang perlu menunjukkan keputusan ujian negatif untuk menamatkan perintah kuarantin. – 2 Januari, 2022.
Komen