Kemasukan ke hospital akibat Covid-19 turun untuk hari ke-2


Ravin Palanisamy

Sebanyak 847 kemasukan ke hospital akibat Covid-19 semalam yang menunjukkan angka penurunan untuk hari kedua berturut-turut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2022.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mencatatkan 847 kemasukan ke hospital akibat Covid-19 semalam menunjukkan angka penurunan untuk hari kedua berturut-turut.

Kemasukan ke hospital berada dalam lingkungan 900 kes beberapa hari lalu sebelum berkurangan kepada 868 kes pada Jumaat.

Malaysia kini melaporkan kurang daripada 1,000 kemasukan harian selama 22 hari berturut-turut.

Laman web CovidNow menunjukkan kadar penggunaan katil menurun kepada 62.0% semalam daripada 62.5% sehari sebelumnya. Pesakit koronavirus menyumbang 28.0% daripada penggunaan katil.

Penggunaa hospital termasuk penghunian katil serta bilangan pesakit di unit rawatan rapi dan ventilator.

Walaupun pengurangan jumlah kemasukan ke hospital secara keseluruhan, Lembah Klang menyaksikan peningkatan jumlah kemasukan semalam.

Terdapat 301 kemasukan direkodkan di Lembah Klang semalam berbanding 286 pada hari sebelumnya.

Selangor mencatatkan 261 kemasukan ke hospital manakala Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing mencatatkan 20 kemasukan.

Penggunaan katil di Lembah Klang termasuk untuk kes bukan Covid-19 berjumlah 57.8%.

Negeri Lain yang melaporkan kemasukan baharu ialah Johor (155), Sabah (76), Sarawak (64), Kelantan (63), Negeri Sembilan (42), Pahang (40), Kedah (28), Perak (24), Pulau Pinang (19), Terengganu (19), Melaka (9), Perlis (6) dan Labuan (1). 

Melaka merekodkan kadar penggunaan katil keseluruhan tertinggi dengan kadar pengambilan katil sebanyak 81.1% yang merupakan angka tertinggi berbanding wilayah dan negeri lain.

Sementara itu Malaysia mencatatkan 3,3836 kes baharu koronavirus semalam.

Lembah Klang yang terdiri daripada Selangor (786), Kuala Lumpur (191) and Putrajaya (20) menyumbang 997 atau 29% daripada jangkitan baharu semalam.

Negeri lain yang melaporkan kes baharu ialah Johor (426), Kelantan (350), Pahang (268), Sabah (264), Kedah (254), Pulau Pinang (206), Melaka (182), Perak (164), Terengganu (130), Negeri Sembilan (97), Sarawak (24), Perlis (22) dan Labuan (2).

Penggunaan alat ventilator adalah pada 36.9% manakala penghunian ICU berada pada 53.3% di mana 26.0% adalah disebabkan oleh koronavirus.

Antaranya 33,896 pesakit dikuarantin di rumah, 3,357 di pusat kuarantin berisiko rendah dan 3,508 di hospital.

Terdapat 273 pesakit di dalam unit rawatan rapi di mana 159 daripadanya menggunakan alat ventilator. – 2 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen