KANAK-KANAK berusia enam tahun ke atas yang menaiki pengangkutan awam di Perancis selepas ini perlu memakai topeng pelitup muka sebahagian daripada langkah terbaru mengekang penularan Covid-19.
Topeng pelitup muka sebelum ini diwajibkan untuk kanak-kanak berusia 11 tahun ke atas tetapi kini Perancis mengetatkan peraturan memandangkan penularan jangkitan varian Omicron.
Kanak-kanak berusia enam tahun ke atas perlu memakai topeng pelitup muka di dalam semua pengangkutan awam dalam sempadan negara mulai esok.
Perdana Menteri Jean Castex juga mengumumkan larangan membawa makanan dan minuman di dalam pengangkutan awam pada Isnin lalu.
Jurucakap pengendali kereta api nasional SNCF berkata perintah baharu itu melarang penumpang membuka topeng pelitup muka mereka walaupun untuk makan atau minum kecuali untuk perkhidmatan rentas sempadan termasuk Thalys dan Eurostar.
Kes harian Covid-19 di Perancis mencecah satu demi satu rekod tertinggi dalam beberapa hari kebelakangan ini dengan pihak berkuasa mengumumkan 232,000 jangkitan baharu pada Jumaat yang menunjukkan angka tertinggi sejak wabak bermula.
Tetapi kerajaan setakat ini cuba mengelak langkah seperti menutup restoran dan bar sebaliknya menggalakkan semua untuk divaksin sepenuhnya dengan suntikan penggalak. – AFP, 2 Januari, 2022.
Komen