KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan 25 kematian akibat Covid-19 setakat 11.59 malam tadi, termasuk 4 kes berlaku di luar hospital (brought in dead atau BID).
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik Covid-19 sepanjang 2021 sebanyak 31,487 kes, menurut KKM.
Daripada jumlah itu, 6,355 adalah kes BID.
Angka kematian harian yang dilaporkan oleh KKM merangkumi jumlah kematian baharu dan kes tertunggak, dengan ada antara mangsa meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Oleh itu, laporan harian mungkin berbeza dari jumlah kematian sebenar yang berlaku dalam sehari.
Berdasarkan data dikeluarkan GitHub, Selangor catat angka kematian tertinggi iaitu sepuluh kes, dua daripadanya kes BID.
Di negeri-negeri lain, lima kes direkodkan di Pulau Pinang, masing-masing tiga kes di Perak dan Terengganu, serta Johor, Kedah, Pahang dan Sabah masing-masing satu kes.
Tiada kes kematian Covid-19 di Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Sarawak, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan setakat tengah malam tadi.
Kadar kematian Covid-19 negara turun kepada 0.9% berbanding 1% semalam. – 1 Januari, 2022.
Komen