DAP terbukti bersih dan patuh undang-undang, kata Guan Eng


Looi Sue-Chern

Lim Guan Eng menyifatkan perakuan RoS mengenai pemilihan semula CEC DAP sebagai memenuhi semua syarat dikenakan adalah bukti parti pembangkang utama itu bersih dan menjunjung undang-undang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Febuari, 2018.

PERAKUAN Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang DAP mematuhi semua syarat diberikan pihak berkuasa dalam menjalankan pemilihan semua Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) tahun lepas adalah bukti parti pembangkang itu bersih.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata kenyataan RoS menunjukkan yang DAP adalah organisasi yang bersih dan mematuhi undang-undang dalam menjalankan pemilihan parti.

“Ia menunjukkan kami adalah parti yang menjunjung undang-undang…saya tak mahu cakap banyak sehinggalah RoS mengeluarkan surat pada 5 Febuari nanti.

“DAP dikenakan syarat sukar yang tidak dikenakan kepada parti Barisan Nasional (BN).

“Adakah standard baru ini akan dikenakan kepada parti BN juga?” katanya di Pulau Pinang hari ini.

Lim mengulas mengenai kenyataan RoS bahawa pemilihan semula CEC DAP yang diadakan pada 12 November lalu memenuhi semua syarat yang dikenakan agensi itu.

“RoS bersetuju supaya laporan penuh pelaksanaan pemilihan semula tersebut disimpan oleh firma Grant Thornton mengikut tempoh masa wajar sepertimana keperluan perlembagaan Parti. 

“Surat rasmi memaklumkan keputusan Pendaftar Pertubuhan Malaysia akan dikeluarkan pada Isnin (5 Febuari),” kata RoS dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Firma audit antarabangsa, Grant Thornton yang dilantik DAP menghantar laporan penuh mengenai pemilihan semula CEC pada 27 November tahun lepas.

Pemilihan semula itu diadakan selepas RoS menerima aduan mengenai pemilihan CEC pada 2012 dan pemilihan semula pada 29 September 2013. Masalah bermula daripada pengiraan undi pada pemilihan 2012.

Masalah itu menyebabkan barisan kepimpinan DAP tidak diiktiraf RoS, malah menimbulkan kebimbangan yang parti utama dalam gabungan pembangkang itu berdepan pembatalan pendaftaran pada 2013 sebelum Pilihan Raya Umum 2013.

Isu itu turut menimbulkan keresahan yang calon DAP tidak boleh menggunakan simbol parti sehinggalah RoS mengatakan masalah itu tidak wujud.

Menjelang PRU14 pula, Lim berkata RoS perlu mempercepatkan proses pendaftaran Pakatan Harapan (PH).

PH yang terdiri daripada DAP, Bersatu, PKR dan Amanah sudah menghantar permohonan pendaftaran gabungan tahun lepas.

Pakatan baru pembangkang itu mahu bertanding dalam PRU14 di bawah bendera dan simbol yang sama, berbanding menggunakan simbol parti masing-masing.

“Kami harap mereka cepatkan kelulusan. Ada parti yang boleh dapat kelulusan pendaftaran dalam tempoh 24 jam.

“Mengapa sukar sangat untuk daftar PH? Kami tak faham mengapa kelulusan masih tak diberikan,” kata timbalan presiden PH itu.

Lim mengatakan masih tiada perkembangan diberikan RoS mengenai pendaftaran PH sehingga kini.

“Kami harap RoS boleh buat kerja secara profesional, supaya PH dan BN boleh bertanding menggunakan simbol masing-masing.

“Kami mahu gunakan simbol PH menentang simbol BN,” katanya.

Ketika PH pertama kali menghantar permohonan Julai tahun lepas, RoS mengatakan gabungan parti pembangkang itu perlu mengubah suai logonya kerana ia tidak mempunyai nama penuh PH. – 3 Febuari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen