Warga asing di PPS dakwa didiskriminasi


Alfian Z.M. Tahir

Pekerja warga asing yang juga mangsa banjir mendakwa mereka didiskriminasikan daripada segi agihan makanan dan pakaian ketika di PPS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2022.

PEKERJA warga asing di pusat pemindahan sementara (PPS) berdepan diskriminasi sementara mereka yang berada di kawasan terjejas sering menjadi kumpula terakhir menerima bantuan makanan, itu pun kalau ada, kata ketua komuniti itu dan NGO.

Ketua kumpulan buruh warga Indonesia di Subang dan Sri Muda berkata ramai antara mereka dalam keadaan kebuluran ketika satu kumpulan mahu menghantar makanan tetapi tidak dibenarkan masuk oleh pihak berkuasa yang berkawal di kawasan itu.

Bagi mereka yang berada di PPS, mereka diketepikan dan diberikan makanan terakhir serta bekalan baju bersih.

Ketua masyarakat Indonesia itu yang enggan namanya didedahkan, berkata tiada alasan diberikan kepada mereka apabila kumpulan dihantarnya untuk memberikan makanan kepada mangsa senegaranya di Sri Muda, tidak dibenarkan masuk.

“Kami tidak tahu kenapa kami tidak dibenarkan masuk. Kami cuba masuk hanya untuk berikan makanan kerana ramai buruh Indonesia terkandas di rumah mereka dan tidak ada bekalan makanan.

“Mereka tidak makan selama tiga hari. Bekalan makanan mereka hanyut ketika banjir. Akhirnya kami dibantu beberapa penduduk tempatan yang memberikan mereka makanan,” kata jurucakap kumpulan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman.

Bagaimanapun, polis berkata hanya kenderaan NGO tertentu saja dibenarkan masuk ke kawasan banjir teruk di Sri Muda, sementara kenderaan awam lain hanya boleh masuk dengan kebenaran. Ini bagi mengelak kesesakan di kawasan itu kerana mangsa sedang dalam usaha dipindahkan ke PPS.

Rahman berkata pekerja asing yang dapat diselamatkan dan dibawa ke PPS dibiarkan menguruskan diri sendiri ketika makanan dan pakaian diagihkan.

“Mereka akan dapat sisa makanan dan makanan. Keutamaan diberi kepada rakyat Malaysia dan pendatang asing terima bakinya.”

Alex Ong daripada Migrant CARE, yang memberi bantuan kepada masyarakat warga asing, senada dengan aduan itu.

Beliau berkata kumpulan warga Indonesia yang cuba melancarkan usaha bantuan mereka sendiri tidak dibenarkan masuk ke tempat di mana warga mereka berada.

Ong berkata koordinasi antara agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa lain dalam mengendalikan bantuan banjir sangat lemah.

“Dalam keadaan seperti ini, agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa lebih bimbang tentang kesejahteraan VIP, bukannya nyawa rakyat biasa yang terperangkap tanpa makanan.

“Bila VIP datang semua jalan ditutup dan bila mereka balik, agensi semua pun ikut, tinggallah mangsa.” – 2 Januari, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen