AS nasihat rakyat elak pelancongan kapal persiaran


Risiko virus Covid-19 merebak dengan pantas di atas kapal persiaran lebih-lebih lagi ketika penuaran varian Omicron adalah sangat tinggi, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS. – Gambar AFP, 31 Disember, 2021.

PIHAK berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis menggesa rakyatnya elak pelancongan atas kapal persiaran walaupun mereka lengkap vaksinasi Covid-19, susulan lonjakan kes membabitkan varian Omicron.

“Elakkan, tanpa mengira status vaksinasi,” menurut notis yang dimuat naik di laman web Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC).

CDC menaik tahap notis perjalanan semasa pelayaran ke Tahap 4, yang tertinggi pada skala risiko Covid-19.

“Pengembara lengkap vaksinasi juga berisiko dijangkiti dan menyebarkan varian Covid-19,” tambah notis itu.

Sebanyak 5,013 kes Covid-19 dikesan di perairan AS antara 15 dan 29 Disember, iaitu naik 31 kali berbanding dua minggu sebelumnya, menurut e-mel daripada jurucakap CDC.

Agensi itu mengesyorkan langkah kawalan termasuk mendapatkan vaksin dan dos penggalak, memakai pelitup muka dalam persekitaran yang tertutup serta mengambil ujian Covid-19 sebelum sebarang aktiviti berkumpulan diadakan.

“Risiko virus yang menyebabkan Covid-19 merebak dengan pantas di atas kapal persiaran adalah sangat tinggi, walaupun anda telah diberi vaksin sepenuhnya dan menerima dos penggalak,” kata CDC.

Lonjakan kes baharu yang dikaitkan dengan varian Omicron yang sangat mudah ditularkan menimbulkan cabaran baharu untuk industri pelayaran, yang beroperasi semula di AS pada musim panas ini selepas lebih setahun tidak beroperasi. – AFP, 31 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen