PERSATUAN Automotif Malaysia (MAA) mengalu-alukan keputusan kerajaan menyediakan insentif cukai untuk kenderaan elektrik (EV) di bawah Bajet 2022 dan mendakwa ini akan meningkatkan lagi jualan mereka.
Presiden MAA Aishah Ahmad berkata permintaan untuk EV kini akan meningkat dengan insentif yang diberikan dan mendakwa lebih ramai pembuat kereta akan membawa EV ke pasaran Malaysia.
“Sejak insentif diumumkan terdapat banyak pertanyaan mengenai kenderaan EV dan terdapat juga peningkatan permintaan untuk EV sekarang daripada bakal pelanggan.
“Jualan pasti akan meningkat dengan adanya insentif yang diberikan dan banyak jenama kereta sedang mengkaji untuk membawa EV ketika ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Di bawah Bajet 2022 Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan pengecualian 100% semua cukai ke atas EV di negara ini termasuk duti import dan eksais serta cukai jalan.
Selain itu pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 akan diberikan untuk penyewaan, sewa beli, pembelian dan pemasangan kemudahan pengecasan EV dan pembayaran yuran langganan kemudahan pengecasan EV.
Selain pengecualian cukai Aisha berkata tumpuan kepada pembangunan infrastruktur akan terus menyokong pertumbuhan segmen EV.
“Bagi pembangunan infrastruktur kami berharap lebih banyak lagi akan disediakan yang akan menyokong dan meningkatkan jualan EV,” katanya.
Aishah menambah semua pihak berkepentingan memuji keputusan Putrajaya untuk menyediakan insentif tetapi berkata penyelesaian jangka panjang diperlukan untuk menarik pelabur asing.
“Ini (pengecualian cukai) sememangnya dialu-alukan tetapi saya fikir kerajaan juga harus mengemukakan cadangan jangka panjang untuk memberi insentif kepada EV.
“Ia tidak boleh selama dua tahun dan kemudian itu sahaja. Jika kita mahu pelabur asing masuk, maka perlu ada cadangan jangka panjang,” katanya.
Presiden Kelab Pemilik Kenderaan Elektrik Malaysia (MyEVOC) Shahrol Azral Ibrahim Halmi turut memuji langkah kerajaan itu berkata lebih ramai orang akan beralih daripada kenderaan konvensional kepada EV.
Beliau berkata generasi muda kini lebih berminat dengan EV.
“Pengecualian cukai untuk bateri EV sememangnya amat dialu-alukan oleh pengguna terutamanya mereka yang sudah berminat untuk menggantikan kereta enjin pembakaran dalaman mereka dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Sudah tentu terdapat minat yang semakin meningkat dalam EV terutamanya dalam kalangan pemandu muda,” katanya.
Shahrol berkata pengecualian cukai itu akan menyaksikan sekurang-kurangnya lebih 200 EV dijual pada tahun akan datang, secara beransur-ansur meningkatkan bilangan EV di negara ini.
Pengasas bersama MyEVOC yakin EV akan menggantikan kereta enjin pembakaran dalaman pada tahun akan datang.
“Terdapat manfaat yang besar kepada alam sekitar, manusia dan industri jika peralihan ini diuruskan secara proaktif.
“Terdapat pembinaan momentum dan kita sebagai sebuah negara perlu merebut peluang ini untuk menyahkarbonkan sektor pengangkutan - pemancar gas rumah hijau kedua terbesar,” katanya.
Penggunan kenderaan EV adalah selaras dengan matlamat negara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45% menjelang 2030 seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12. – 31 Disember, 2021.
Komen