Tiada sambutan ambang Tahun Baharu malam esok, kata Bukit Aman


Polis Dang Wangi berkata tiada pertunjukan bunga api akan diadakan di KLCC dan pusat beli-belah Pavilion di ibu kota, serta tiada sambutan ambang Tahun Baharu 2022 akan diadakan malam esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2021.

TIADA sebarang permit sambutan tahun baharu diluluskan di seluruh negara oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena malam ambang tahun baharu esok, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Hazani Ghazali.

Beliau berkata langkah itu untuk mengelakkan risiko penularan wabak Covid-19.

Hazani berkata pasukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara diarah untuk melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan tumpuan bagi memastikan tiada orang ramai berkumpul dan melakukan aktiviti melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara.

“Saya mengingatkan orang ramai untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti sambutan tahun baharu atau berkumpul beramai-ramai pada malam menjelang tahun baharu esok di mana-mana lokasi tumpuan ramai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata tiada sebarang pertunjukan bunga api akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan pusat beli-belah Pavilion di ibu kota.

Beliau berkata pihaknya juga akan menjalankan rondaan keselamatan di lokasi tumpuan ramai bagi mencegah aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal.

Di George Town, polis akan mengadakan pemantauan secara “omnipresence” di kawasan tumpuan dan aliran lalu lintas serta sekatan jalan raya di seluruh Pulau Pinang menjelang ambang tahun baharu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata seramai 146 pegawai dan 821 anggota polis akan menjalankan operasi berkenaan di seluruh negeri.

“Ini kerana bermula esok, Pulau Pinang berkemungkinan akan menerima peningkatan aliran trafik hingga 40% sempena cuti sekolah, cuti akhir tahun dan sambutan awal 2022.

“Pihak polis ingin mengingatkan supaya patuhi peraturan jalan raya dan dilarang sama sekali meletakkan kenderaan anda di bahu jalan,” katanya. – Bernama, 30 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen