BEKAS ahli panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Edmund Terence Gomez berkata beliau sudah pun bersetuju berbincang dengan Abu Zahar Ujang tetapi Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM itu tidak menjawab menjawab permintaannya untuk mengadakan pertemuan di Zoom.
Bercakap kepada The Malaysian Insight, pakar ekonomi politik itu menjelaskan pejabat Abu Zahar ada menghubunginya untuk mengadakan pertemuan yang mana beliau sudah menyatakan persetujuan serta-merta.
Gomez berkata pejabat Abu Zahar meminta mesyuarat itu diadakan di Putrajaya yang dipersetujuinya. Bagaimanapun lokasi itu kemudiannya ditukar ke Kuala Lumpur.
“Saya segera bersetuju apabila pejabatnya memanggil saya untuk bermesyuarat. Namun apabila lokasi itu ditukar ke KL saya memberitahu pegawainya adalah yang terbaik untuk berjumpa melalui Zoom.
“Malah selepas saya membuat cadangan itu pejabatnya tidak memberikan sebarang maklum balas,” kata Gomez dalam jawapan kepada Abu Zahar hari ini.
Terdahulu Abu Zahar memberitahu The Malaysian Insight sebelum ini beliau bersedia bertemu dengan Gomez untuk membincangkan dakwaan salah laku ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki memiliki sejumlah besar saham korporat dalam Gets Global Bhd pada 2015 dan mungkin tidak mengisytiharkan aset berkenaan.
“Jangan hanya menuduh, berikan bukti. Datang jumpa saya,” kata bekas Presiden Dewan Negara itu.
Abu Zahar memberitahu Utusan Malaysia sebelum ini beliau menjemput Gomez untuk membincangkan isu-isu berkaitan Azam Baki pada pertemuan peribadi tetapi Gomez menolak sebaliknya mahukan pertemuan secara maya.
Abu Zahar berkata lembaga penasihat tidak akan berkompromi sekiranya mana-mana pegawai SPRM termasuk mereka yang memegang jawatan kanan didapati berkelakukan tidak profesional.
Abu Zahar juga menafikan menerima sebarang e-mel daripada Gomez seperti yang didakwa oleh ahli akademik berkenaan.
“Saya sudah menyemak dengan ahli panel lain yang mengesahkan dia menerima e-mel itu. Saya tidak tahu mengapa dia mengatakan dia tidak menerima e-mel berkenaan,” kata Gomez.
Beliau juga menggesa wartawan menyemak e-mel yang dihantarnya untuk pengesahan.
“Anda boleh menyemak e-mel yang saya hantar kepada editor anda sama ada Abu Zahar menerimanya atau tidak,” katanya.
Pada Isnin Gomez meletakkan jawatan sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.
Peletakan jawatannya dibuat selepas mendakwa panel penasihat SPRM tidak mengendahkan laporan yang beliau bangkitkan melibatkan kewibawaan pegawai tinggi agensi antirasuah.
Gomez berkata maklumat mengenai Azam yang berkhidmat lebih 30 tahun di SPRM diberikan kepadanya oleh seorang yang bekerja dengan sebuah pertubuhan anti rasuah.
Gomez juga mengeluarkan surat-menyuaratnya dengan Borhan dan Zahar kepada media yang menunjukkan beliau menghantar e-mel kepada mereka mendesak untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan kes Azam selama lebih sebulan sejak 10 November. – 30 Disember, 2021.
Komen