Lonjakan kes Covid-19, UK siap sedia buka hospital lapangan


United Kingdom menjadi salah sebuah negara yang paling teruk terjejas akibat Covid-19 di Eropah dengan angka kematian sebanyak 148,089 kes. – Gambar EPA, 30 Disember, 2021.

ENGLAND bersedia membuka hospital lapangan sementara untuk membendung kemungkinan lebihan pesakit akibat lonjakan kes koronavirus, kata perkhidmatan kesihatan negara hari ini.

Didorong oleh varian Omicron yang sangat menular, kes harian meningkat mencapai lebih 183,000 kes semalam.

NHS England berkata mereka akan mula membina struktur di pekarangan lapan hospital di bandar termasuk London, Bristol dan Leeds mulai minggu ini dengan setiap satu direka untuk menempatkan kira-kira 100 pesakit tambahan.

Katil tambahan direka untuk pesakit yang sedang pulih daripada penyakit termasuk mereka yang tidak lagi mempunyai Covid-19. Ia bagi memberikan ruang dan kakitangan untuk merawat sejumlah besar kes virus.

Bilangan pesakit di hospital dengan virus itu juga meningkat melebihi 10,000 kes di England semalam yang merupakan angka tertinggi sejak Mac.

UK menjadi salah sebuah negara yang paling teruk terjejas di Eropah dengan angka kematian sebanyak 148,089 kes.

Kerajaan membuka hospital lapangan “Nightingale” yang besar di tempat seperti pusat pameran semasa gelombang pertama virus itu. – AFP, 30 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen