Gomez perlu buktikan dakwaan salah laku Azam, kata Abu Zahar


Alfian Z.M. Tahir

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM Abu Zahar Ujang berkata bekas ahli panel SPRM Edmund Terence Gomez mesti membuktikan dakwaannya terhadap ketua pesuruhjaya agensi antirasuah Azam Baki. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2021.

BEKAS ahli panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Edmund Terence Gomez mesti membuktikan dakwaannya terhadap ketua pesuruhjaya agensi antirasuah Azam Baki, kata Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM Abu Zahar Ujang.

Abu Zahar memberitahu The Malaysia Insight beliau bersedia untuk bertemu dengan Gomez mengenai perkara itu.

“Jangan hanya menuduh, berikan bukti. Datang jumpa saya,” kata bekas Presiden Dewan Negara itu.

Abu Zahar juga menafikan menerima sebarang e-mel daripada Gomez seperti yang didakwa oleh ahli akademik itu.

“Saya tidak menerima sebarang surat, e-mel mengenai salah laku itu,” katanya.

Abu Zahar memberitahu Utusan Malaysia sebelum ini beliau menjemput Gomez untuk membincangkan isu-isu berkaitan Azam Baki pada pertemuan peribadi tetapi Gomez menolak sebaliknya mahukan pertemuan secara maya.

Abu Zahar berkata lembaga penasihat tidak akan berkompromi sekiranya mana-mana pegawai SPRM termasuk mereka yang memegang jawatan kanan didapati berkelakukan tidak profesional.

Tambahnya lembaga itu tidak menemui sebarang kesalahan yang dibuat oleh Azam.

Beliau juga berkata Gomez sepatutnya membuat laporan polis dan bukannya pergi ke media.

Pada Isnin Gomez meletakkan jawatan sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.

Peletakan jawatannya dibuat selepas mendakwa panel penasihat SPRM tidak mengendahkan laporan yang beliau bangkitkan melibatkan kewibawaan pegawai tinggi agensi antirasuah.

Gomez berkata maklumat mengenai Azam yang berkhidmat lebih 30 tahun di SPRM diberikan kepadanya oleh seorang yang bekerja dengan sebuah pertubuhan anti rasuah.

Gomez juga mengeluarkan surat-menyuaratnya dengan Borhan dan Zahar kepada media yang menunjukkan beliau menghantar e-mel kepada mereka mendesak untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan kes Azam selama lebih sebulan sejak 10 November.

Pakar ekonomi politik itu yang sudah mengarang banyak buku mengenai hubungan antara politik dan perniagaan berkata beliau sudah memberikan Borhan dan Zahar beberapa lampiran pada e-melnya yang mengandungi maklumat mengenai Azam.

Borhan juga menafikan dakwaan Gomez dengan mengatakan e-emlnya tidak pernah menyebut kesalahan Azam. – 30 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen